Laman Utama

Aina Abdul Harumkan Nama Malaysia Di Korea Selatan! - "Saya Terharu Ada Sanggup Travel Jauh Untuk Tengok Saya Live"

gempak
Amri Hassan
31/10/2023
04:50 MYT
Sponsor Banner
Aina Abdul Harumkan Nama Malaysia Di Korea Selatan! - "Saya Terharu Ada Sanggup Travel Jauh Untuk Tengok Saya Live"
Penyanyi popular Aina Abdul terpilih mewakili negara sekali gus mengharumkan nama Malaysia untuk beraksi di pentas global Festival Muzik ABU TV 2023 anjuran Kesatuan Penyiaran Asia Pasifik (ABU) yang berlangsung di KBS Hall, Seoul, Korea Selatan pada Ahad.
Penganjuran festival nyanyian berprestij edisi ke-12 yang dihoskan oleh stesen televisyen nasional Sistem Penyiaran Korea (KBS) itu menyaksikan pembabitan seramai 11 penyanyi tersohor dari 11 negara.
Dalam acara berkenaan, Aina yang beraksi cemerlang menyanyikan lagu Terus Hidup dan berjaya memukau hampir 2,000 penonton di dalam dewan.
"Berpeluang mewakili Malaysia untuk beraksi di pentas antarabangsa adalah satu penghormatan yang cukup istimewa. Ia bukan sahaja memberi dimensi positif kepada kerjaya seni saya, bahkan boleh disifatkan antara salah satu pengalaman terbaik yang pernah saya kecapi sebagai penyanyi.
"Seperti yang kita tahu, industri K-Pop mempunyai reputasi global dan digilai oleh peminat seluruh dunia manakala KBS pula adalah antara platform utama yang menjadi lubuk kelahiran artis ternama K- Pop.
"Mengetahui bahawa program ini turut disiarkan di saluran KBS dan persembahan saya akan ditonton oleh jutaan rakyat Korea Selatan khususnya, saya tidak dapat menggambarkan betapa bermaknanya peluang yang diberikan ini.
"Walaupun hanya menyanyikan sebuah lagu sahaja, saya bangga dapat membawa nama dan budaya Malaysia tercinta di persada dunia," katanya.

Peminat travel jauh

Tambah Aina, pengalaman bermakna itu juga memberi peluang kepadanya untuk menghiburkan peminat di luar negara.
"Dalam masa yang sama, kesempatan beraksi di festival ini turut melengkapi hasrat saya untuk menghiburkan peminat di luar negara. Saya cukup terharu apabila mengetahui ada di antara mereka yang tinggal di luar daerah Seoul sanggup 'travel' jauh semata-mata ingin menonton persembahan saya secara 'live'.
"Saya juga rasa cukup bertuah kerana bukan sahaja dapat berkongsi pentas dengan penyanyi-penyanyi handalan dari rantau Asia Pasifik, malah dapat mengutip pengalaman bekerja dengan krew produksi televisyen antarabangsa yang cukup berdedikasi dan profesional.
"Segala urusan berkaitan program juga berjalan dengan lancar dan menyeronokkan. Walaupun terdapat kekangan bahasa, namun tiada sebarang masalah yang timbul kerana segalanya disusun secara terperinci dan teratur.
"Pihak KBS juga turut menyediakan khidmat penterjemah untuk semua penyanyi bagi memudahkan komunikasi. Saya berharap persembahan malam tadi dapat mempersonakan kesemua penonton yang menonton termasuk di dewan dan di rumah," katanya.

Tembusi pasaran muzik Korea Selatan

Dalam pada itu, Aina juga menyimpan impian untuk menembusi pasaran muzik di Korea Selatan.
"Mana tahu, mungkin selepas mereka menonton program itu, nama saya di Korea Selatan semakin diingati, peminat semakin bertambah dan mereka mula mengikuti evolusi muzik Aina Abdul.
"Besar harapan saya agar selepas ini saya akan menerima lebih banyak undangan untuk kembali beraksi di sini, mungkin untuk projek kolaborasi yang lebih istimewa, Insya Allah," katanya.
10 penyanyi lain yang turut terbabit dalam festival itu terdiri daripada Tia Ray (China), Chau Kat Pui (Hong Kong), Malini Awasthi (India), Ayaka Hirahara (Jepun), Mamamoo+ (Korea Selatan), Winifai (Macau), Sheron Silva (Sri Lanka), Annamyradow Begmyrat (Turkmenistan), Umut Sulunoglu & Ugur Onur (Turkiye) dan Erik Le Trung Thanh (Vietnam).
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024