Penyanyi dan komposer Aina Abdul mengakui teruja menjalinkan kolaborasi bersama komposer terkemuka, Melly Goeslaw menerusi sebuah lagu runut bunyi yang bakal dimuatkan dalam filem Cinta Tak Pernah Tepat Waktu kelak.

Dua tahun

Menurut Aina, projek itu sudah pun diusahakannya sejak sekian lama, sehingga memerlukan dirinya berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Jakarta, Indonesia.

“Saya rahsiakan kolaborasi ini sejak dua tahun lalu. Banyak kali juga saya berulang-alik ke Jakarta. Waktu itu, ada yang bertanya, tapi saya tak boleh nak kongsikan sebabnya.

“Tapi, akhirnya saya dapat kongsikan juga kepada peminat pada Rabu tentang berita yang mengujakan ini. Alhamdulillah, menerusi lagu ciptaan Melly ini, saya berduet dengan Fabio Asher manakala muziknya disusun oleh Andi Rianto.

“Lagu ini bakal dijadikan lagu runut untuk filem Cinta Tak Pernah Tepat Waktu arahan Hanung Bramantyo dan ia akan ditayangkan tidak lama lagi,” katanya kepada Gempak.

Aina berkata demikian ketika ditemui pada sidang media konsertnya bersama Orkestra Filharmonik Malaysia di Hotel Traders, Kuala Lumpur pada Khamis.

Kreativiti

Melanjutkan bicara mengenai kerjasama perdana bersama Melly, Aina berkata, Melly tidak menyekat kreativitinya selain memberi kebebasan dalam menyampaikan lagu tersebut mengikut caranya.

“Saya memang tak sangka saya akan duduk berhadapan dengan dia dalam studio. Hanya melihat dia dari sofa sahaja, saya rasa saya sudah banyak belajar. Walaupun tak berbual sangat tapi saya rasa teruja ini semua terjadi.

“Bertahun saya ‘cover’ lagunya jadi ia adalah satu perkara yang gila bila dapat peluang sebegini,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain Aina kini sedang giat melakukan latihan untuk konsertnya di DFP yang bakal berlangsung pada 10 dan 11 Mei depan. Untuk maklumat lanjut, layari www.mpo.com.my.

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai Lancarkan Lagu Raya Berentak Rancak, Ini Pendapat Aina Abdul - “Kita Tengok Pada Market”

ARTIKEL BERKAITAN: Aina Abdul Masuk Gimnasium, Target Kurangkan Berat Sebanyak 7KG Menjelang Konsert Di MPO