Penyanyi dan komposer, Aina Abdul mengakui teruja apabila dia dipilih oleh penganjur untuk membuka pentas persembahan bagi Konsert Ailee - I AM:HERE yang bakal berlangsung di Mega Star Arena Kuala Lumpur pada 22 Jun depan.

Pemenang Artis Digital Tergempak, Gempak Most Wanted Awards 2023 itu berkata, dia menerima undangan untuk menyanyi di konsert pelantun suara asal Amerika Syarikat (AS) itu ketika sedang melalui hari yang kurang baik.

“Ketika hari itu, saya melalui satu meeting yang agak intense. Dalam masa sama saya dapat juga perkhabaran yang kurang baik untuk karier saya. Saya menangis hari tu.

“Kemudian pengurus saya dapat panggilan daripada penganjur. Saya diberitahu yang saya dipilih untuk menjadi penyanyi persembahan pembuka bagi konsert Ailee nanti,” ujar Aina kepada Gempak.

Bercerita lanjut, Aina yang masih tidak sangka diberi peluang sebegitu berkata, dia meminati penyanyi itu sudah sekian lama, sejak Ailee mula ‘tular’ selepas menyanyikan lagu Halo dendangan asal Beyonce.

“Walaupun saya tidak pernah jumpa dia, tapi bila dengar nyanyian dia dan struggle hidup dia terasa macam dia ‘big sister’.

“Banyak teknik nyanyian saya belajar daripada Ailee. Saya selalu juga menonton persembahannya di Youtube. Pendek kata, saya peminat dia,” ujar Aina sambil memberitahu yang pihak penganjur masih belum menentukan jumlah lagu yang bakal dinyanyikan olehnya kelak.

Ditanya persalinan apa yang akan digayakan nanti, Aina berkata: “Untuk Ailee, saya akan datang simple sahaja. Saya mewakili peminat Ailee di seluruh Malaysia nak sambut kedatangan dia ke sini.

“Maklumlah, ini merupakan kali pertama Ailee buat persembahan di sini,” tutup Aina.

BERITA TRENDING: 6 Fakta Yang Perlu Anda Tahu Tentang Aina Abdul Ketika Mewakili Malaysia Menerusi 12th ABU TV Song…

BERITA TRENDING: Aina Abdul Jadi Akar Pokok, Ada Daun Gugur, Terapung Ke Udara... Ini Makna Tersirat Di Sebalik Persembahan…