Pengarah, Amin Khalid akui ada kalanya berasa sebak untuk duduk di kerusi pengarah yang ditinggalkan oleh bapanya iaitu sutradara terkenal, Allahyarham Mamat Khalid.

Menurut Amin, dia mengambil masa selama dua tahun untuk mengumpul semangat sebelum memutuskan untuk kembali meneruskan karya yang dinanti-nantikan penonton iaitu filem 19 Puasa: Playboys Of Plestik Hitam.

“Saya akui memang ada rasa sayu sepanjang mengarahkan drama ini. Saya sudah biasa berada di set bersama arwah ayah sejak kecil.

“Ada juga momen saya menitiskan air mata tapi bukan depan orang ramai.

“Alhamdulillah, ramai yang beri saya semangat untuk memeruskan karya arwah ayah. Selepas arwah meninggal, saya mengambil masa dua hingga tiga tahun untuk kumpul kembali semangat.

“Ibu, adik beradik dan kawan-kawan arwah pun banyak bagi saya peransang,” katanya ketika ditemui Gempak.

Amin berkata sedemikian ketika ditemui di majlis tayangan perdana Program Ramadan Astro 2024 baru-baru ini.

Dalam pada itu, Amin juga turut berterima kasih kepada pengarah Mohd Latiff Zami atau lebih dikenali sebagai Yoep Hitler kerana banyak membantu dan memberikan idea untuk mengarahkan filem ini.

“Saya mencari idea dengan Yoep Hitler. Alhamdulillah, beliau sudi membantu. Saya ingin memberikan tribute buat karya-karya arwah ayah dalam francias ini.

“Pada awalnya, saya merasakan tanggungjawab ini agak berat. Lama-kelamaan, ia menjadi lebih mudah kerana ramai yang memberikan kepercayaan kepada saya.

“Perlahan-lahan saya dapat yakinkan diri untuk mengarahkan karya ini. Malah sangat mudah untuk berkerja dengan para pelakon.

“Mereka juga beri kerjasama yang baik dan layan saya seperti mana mereka bersama ayah dahulu,” ujarnya.

Untuk info, 19 Puasa: Playboys Of Plestik Hitam bakal ditayangkan di Astro First pada bulan Ramadan nanti.

Antara barisan pelakon yang membintangi filem ini adalah Bell Ngasri, Aziz M Osman, Joey Daud, Imuda, Dewa Sharwani NS, TJ Isa dan Rashid Mohd.