AJL37: Persembahan Nyanyi Dalam Keadaan Terbalik Naim Daniel Tewas Dengan Shiha Zikir, Ini Jawapan Ketua Juri
Ketua Juri Anugerah Juara Lagu 37 (AJL 37), Datuk Mokhzani Ismail mempunyai jawapan kukuh mengenai pemilihan Shiha Zikir sebagai pemenang kategori persembahan terbaik berbanding Naim Daniel.
Kata Mokhzani, 61, kemenangan Shiha menerusi lagu Irama merupakan kata sepakat kesemua barisan juri selain menjelaskan penyampaian vokalnya yang baik antara penyumbang kepada markah yang diberikan.
Pun begitu, Mokhzani tidak menafikan Naim Daniel yang menyanyi dalam keadaan terbalik ketika menyampaikan lagu Mainan adalah satu persembahan yang baik.
“Shiha Zikir berjaya memperoleh markah tertinggi dan menang persembahan terbaik, tetapi tidak menafikan keunikan persembahan Naim Daniel.
“Saya dan juri lain melihat secara keseluruhan daripada segi corak persembahan, markah yang diterima adalah sebulat suara daripada juri yang mengangkat Shiha sebagai pemenang persembahan terbaik.
“Shiha mempunyai kelebihan markah adalah juga disebabkan vokal dia. Persembahan terbaik kita ambil kira juga vokal dalam nyanyian mereka. Bila dah nyanyi terbalik dan tinggi macam Naim memang agak susah untuk kawal vokal.
“Bagaimanapun saya tidak menafikan Naim membawakan satu persembahan yang baik tetapi tetap tidak boleh menidakkan kreativiti Shiha,” katanya.
Mokhzani berkata demikian ketika sesi sidang media khas usai anugerah tersebut melabuhkan tirai di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil pada Ahad.
Sementara itu, menurut Penerbit AJL 37, Jamil Hassan menjelaskan, pihaknya sudahpun berulang kali bertanya kepada Naim mengenai konsep persembahan tersebut.
Namun, akhirnya pihaknya yakin selepas penyanyi itu menunjukkan beberapa contoh video selain melakukan ujian menyanyi dalam keadaan terbalik berulang kali.
“Setiap artis yang membuat persembahan pada malam AJL 37 mereka mempunyai idea masing-masing yang ingin dipersembahkan, ada yang mahu biasa-biasa dan ada yang mahu luar biasa.
“Untuk persembahan Naim Daniel, sebulan sebelum AJL, kami dah tanya pada dia, betul-betul ke nak buat persembahan yang terbalik macam itu? Kami beberapa kali dah tekankan pada dia.
“Dia kata dia mahu buat itu, dia bagi pihak kami contoh yang dia pernah buat sedemikian dan dalam masa yang sama ketika penyediaan props dia ada turun buat latihan banyak kali.
“Ujian masa juga telah dibuat dan ambil kira berapa lama dia boleh tergantung terbalik, ternyata terbukti dia hebat dan mampu lakukan,” katanya.
Terdahulu, persembahan Naim menerusi lagu Mainan di pentas AJL 37 telah mencuri perhatian ramai apabila dia menyanyi dalam keadaan terbalik dan tergantung di udara.
Kebanyakkan netizen di laman sosial meneka bahawa Naim yang akan membawa pulang trofi persembahan terbaik berbanding finalis lain.
Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.