Siapa sangka pertemuan Disember lalu jadi pertemuan terakhir antara Khairul Aiman Redzuan Hafiz Boon dan Allahyarham Muhammad Haziq Mohd Tarmizi.

“Aku dah lama tak rasa fun macam ni, aku rindu korang,” itu ungkapan Muhammad Haziq usai pertemuan mereka Disember lalu di sebuah pusat membeli-belah di Putrajaya.

Menurut laporan Astro Awani, sebagai kawan baik Allahyarham, pastinya Khairur Aiman amat terkesan dengan pemergian Allahyarham.

Malah, mereka sempat berbual dalam telefon dua hari sebelum insiden serangan Masjid Al-Noor di Christchurch, New Zealand, Jumaat lalu.

“Banyak yang kami tempuhi bersama-sama,” ujar Khairur Aiman menerusi mesej di aplikasi WhatsApp.

Khairur Aiman memberitahu, perhimpunan sekolah pada pagi tadi juga bertukar menjadi suram selepas guru membuat pengumuman mengenai kematian Allahyarham Muhammad Haziq.

Pengumuman itu terus diiringi esakan dan air mata rakan sekolah lain yang rapat dengan arwah.

“Kawan-kawan yang rapat dengan arwah semua mula menangis apabila mendengar pengumuman pemergian arwah,” kata Khairur.

Dalam pada itu, Khairur mengakhiri perbualan dengan ungkapan yang begitu menyayat hati.

“Saya pun dah berair mata cerita balik kenangan dengan arwah,” katanya lagi.



Seorang lagi kawan baik Allahyarham, iaitu Muhammad Hafiz Azizi Azlee mengakui terkejut sewaktu menerima khabar pemergian Muhammad Haziq pada Rabu malam,

Muhammad Hafiz berkata, pada mulanya dia tidak percaya dengan khabar itu, namun mula menerimanya selepas berita itu disahkan Wisma Putra.

“Masa saya tahu, pukul 12.30 pagi tadi daripada berita yang kawan kongsi dalam group WhatsApp.

“Malam tu kami sukar untuk tidur sedangkan kami perlu menjalani peperiksaan hari ini,” kata Hafiz sewaktu ditemu bual.



Allahyarham Muhammad Haziq bersekolah di SMK Jalan Empat, Bandar Baru Bangi sehingga tingkatan tiga sebelum berpindah ke New Zealand.

Selepas menjalani peperiksaan PT3, arwah berpindah ke New Zealand kerana mengikuti ibunya yang menyambung pelajaran di sana.

Sumber: Astro Awani