Menurut Evertts, kekangan masa menjadi punca dia belum berbuat demikian selain sibuk dengan tawaran peragaan.
“Saya tak pernah pergi kelas lakonan. Bukan tak mahu, saya mahu belajar cuma sebelum ini saya banyak job model.
“Basic berlakon saya hanya dari filem, hanya tengok di kaca televisyen saja,” ujarnya ketika ditemui.
Tambah finalis Hero Remaja 2023 itu, dia cuba untuk menjiwai watak yang diberikan sehabis baik demi kepuasan penonton.
Malah, berharap semua dapat memberi sokongan dan peluang terhadapnya untuk terus mengembangkan bakatnya.
“Agensi saya ada sediakan kelas lakonan tetapi jadual selalu tak menentu. Belum ada masa.
Membawakan watak Ashraf dalam drama Kelas Tahanan Cikgu Hiragi, pelakon kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu akui agak tertekan pada awalnya namun tetap memberikan yang terbaik.
“Agak tertekan sebab drama ini sudah mempunyai peminatnya yang tersendiri.
“Saya ada baca komen daripada netizen yang persoalkan kenapa perlu buat adaptasi sama, tiru dan banyak lagi.
“Tetapi saya faham, kita manusia sentiasa mempersoalkan. Bagilah kami peluang sebab kami lakukan dengan sepenuh hati kami,” katanya lagi.
Kelas Tahanan Cikgu Hiragi ditayangkan mulai 25 September setiap Rabu dan Khamis jam 9 malam di Astro Ria, On Demand, strim Astro Go dan di sooka.
Drama 20 episod itu menampilkan bakat-bakat daripada rancangan pencarian Astro seperti Nadhir Nasar, Aiman Ameer, Arabella, Aizat Saha, Evertts Gomes, Arena Lieya, Syed Khalique (kecik) dan ramai lagi.