Ahli perniagaan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman menuntut individu yang didakwa seorang bekas menteri bergelar Tan Sri untuk menjelaskan hutang berjumlah puluhan juta ringgit kepadanya.

Aliff mendakwa, sudah berkali-kali dia cuba menghubungi individu tersebut, namun sehingga kini masih tiada respon.

“Tak akan bekas menteri macam ini, saya hubungi dia tak angkat, saya WhatsApp dia tak balas. Dulu nak minta bantuan, dia lah terhegeh-hegeh nak jumpa saya.

“Siapa kenal Tan Sri ni? (dalam foto yang dikongsi) Minta dia suruh bayar duit saya yang berpuluh juta itu.. Dia mesti kaya sbb bekas menteri..

“Saya tak nak cerita perkara sebenar, nanti malu satu keluarga Tan Sri. Jadi saya sabar sahaja... orang Langkawi mesti kenal dia hartawan satu Malaysia,” katanya dalam satu hantaran di Instagram pada Ahad.

Menerusi kemas kini itu, Aliff memuat naik foto Tan Sri berkenaan tetap menutup mulut dan mukanya dengan emoji sticker.

Hantaran tersebut mendapat perhatian pengguna di laman maya berkenaan dengan lebih 12,000 tanda suka diberikan.

“Saya kenal Tan Sri ni sebab saya pernah bekerja di hotel miliknya. Saya berhenti dari hotel itu pun sebab, malas nak sebut,” kata salah seorang netizen.

“Saya tidak akan halal dunia dan akhirat duit gaji saya,” komen salah seorang warga maya yang dipercayai pernah bekerja dengan Tan Sri berkenaan.

Difahamkan Aliff masih lagi berada di Makkah bagi menunaikan haji bersama keluarga dan ibunya Bonda Rozita.