HIBURAN
Along Cham Bahagia Sambut Syawal Bersama Keluarga - "Alhamdulillah, Makin Tembam Sebab…"
Pelakon dan pelawak, Along Cham meluahkan rasa syukur dapat meluangkan masa bersama keluarganya untuk menyambut syawal tahun ini.
Bagaimanapun, Along atau Muhammad Nizamuddin Ahmad,42 menyatakan syawal tahun ini sedikit berbeza kerana perlu turun naik mahkamah bagi menyelesaikan kes dadah yang melibatkannya.
"Alhamdulilah, makin tembam sebab mak saya masa sedap-sedap.
"Bahagia Raya tahun ini, cuma kena turun naik mahkamah jelah. Itu sahaja berbeza untuk syawal tahun ini," ujar Along.
Meskipun begitu, keceriaan tetap terpancar di wajah bekas penyampai radio itu ketika ditanya menyambut syawal bersama ibunya,Siti Habsah Kadir.
Katanya, dapat merasai air tangan ibunya itu adalah satu kenikmatan baginya.
"Kalau nampak lebih terurus tu sebab mak saya facial
setiap hari (seloroh), tak adalah mak saya masak sedap, request apa sahaja dapat itu sahaja," katanya.
Ibu along turut menemaninya ketika hadir ke Mahkamah Majistret Sepang pada Isnin bagi kes sebutan semula pertuduhan memiliki dan memasukkan dadah ke dalam badan.
Sebelum ini pada 28 Februari lalu, laporan kimia membabitkan kes dadah Along sudah diserahkan kepada pihak pendakwaan.
Mengikut pertuduhan, Along didakwa memiliki bahan disyaki dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 1.49 gram, di sebuah rumah di Cyberjaya pada jam 3.10 petang, 14 Disember tahun lalu.
Along didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pelawak berkenaan turut berdepan dua lagi kes dadah iaitu Along didakwa memiliki dadah berbahaya jenis kanabis seberat 49.61 gram di lokasi, masa dan tarikh sama.
Along juga didakwa memasukkan dadah berbahaya ke dalam badan disyaki jenis tetra hydrocannibol (THC) di lokasi sama, pada pukul 10 malam di lbu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, Selangor.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 yang boleh dibaca bersama 38B akta sama, membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun dan dikenakan pengawasan tidak kurang dua tahun serta tidak lebih tiga tahun.
Pada 27 Januari lalu, Mahkamah Sesyen Sepang melepas tanpa membebaskannya (DNAA) atas satu pertuduhan dadah jenis kanabis pada 14 Disember lalu.
Must-Watch Video