Keberkesanan sesebuah lagu pastinya memberikan impak terhadap 'mood' pendengar antaranya menumbulkan rasa tenang, sedih, menghiburkan malah ada juga yang membangkitkan rasa seram.

Lagu-lagu yang mungkin disifatkan seram, kadang-kadang tidak semestinya mengandungi lirik yang membuatkan bulu roma berdiri…

Namun cukup sekadar cara nyanyian, muzik, lontaran suara atau mungkin jika dijadikan runut bunyi filem seram, pasti membuatkan kita akan selalu teringat akan lagu tersebut.

Begitulah juga yang boleh disimpulkan pada runut bunyi filem Rahsia iaitu lagu berjudul Alunan Lara yang dinyanyikan oleh Njwa Mahiaddin.

Sebaik mendengar lagu tersebut, boleh dikatakan Alunan Lara mempunyai aura tersendiri yang dapat menguatkan lagi jalan cerita filem berkenaan.

#Piano Misteri

Pernah tak korang berdepan dengan pengalaman mendengar bunyi piano tanpa pemain? Itulah yang ditunjukkan pada permulaan muzik video Alunan Lara.

Bunyi misteri piano dengan suasana suram ternyata menghidupkan lagi mood seram dalam vibe lagu tersebut.


#Intro Meremang

Selepas bunyi piano, lagu itu juga dimulakan dengan intro yang meremang di mana bait bait lirik dimulakan dengan rangkap:

“Dengarkan suara, Alunan Lara, hati bicara.

“Dalam senikata, tersimpan seribu satu makna”


Rangkap tersebut menguatkan lagi unsur misteri yang terdapat dalam lagu dan juga filem itu sendiri.


#Njwa Merintih

Suara merintih, gemersik dan lemak merdu Njwa menyebabkan lagu tersebut terus melekat di kepala walaupun untuk mereka yang baru pertama kali mendengar.

Malah melodi lagu ini juga amat bersesuaian dengan nada suara Njwa. Lebih istimewa komposer dan lirik lagu lagu ini juga merupakan air tangan Njwa sendiri.

BACA: Runut Bunyi Meremang, Nabila Huda Renung Cermin… Ini Trivia Menarik Filem Rahsia



Seperti versi asal Rahsia yang membariskan pelakon terkenal negara, versi reboot turut menampilkan wajah-wajah popular.

Watak Ramlah yang dijayakan oleh Noor Kumalasari, kini dilakonkan oleh Nabila Huda. Manakala, watak Hamdan oleh Shukery Hashim digerakkan oleh Fikry Ibrahim.

Barisan pelakon lain termasuk Eman Manan, Marsha Milan, Rashidi Ishak, Qistina Raisah, Syed Ali Murtadha, Mislina Mustaffa, Aloy Paradoks serta Nabil Zakaria di samping penampilan istimewa Othman Hafsham dan Susan Lankester.

Rahsia membawa tagline Dia Takkan Pergi manakala lagu berjudul Alunan Lara adalah lagu tema rasmi Rahsia yang dinyanyikan oleh Njwa.

Istimewa buat peminat, anda boleh menjadi penonton terawal menyaksikan filem ini melalui ‘sneak preview’ bermula 9 Ogos dengan tayangan pertama bermula 8.00 malam.

SINOPSIS:
Rahsia membongkar sejarah silam sebuah keluarga. Ramlah pulang bercuti ke rumah ayahnya, Tan Sri Karim bersama suami, Hamdan dan anak-anak, Marina dan Saiful.

Keadaan menjadi keruh apabila Saiful tiba-tiba lesap sewaktu mereka berkelah di tepi pantai.

Pihak polis yakin Saiful hilang di persisiran pantai, namun Ramlah berkeras bahawa anaknya disembunyikan kuasa mistik.

Sementara Hamdan menyertai pihak polis dalam operasi pencarian, Ramlah diganggu oleh kelibat wanita yang menggerunkan.

Walaupun tiada bukti kukuh, Ramlah bertekad untuk berdepan dengan puaka tersebut sekali gus merungkai rahsia di sebalik kehilangan anaknya itu.