Hiburan
Alyah Mohon Maaf Secara Terbuka Kepada Media
Penyanyi Alyah membuat permohonan secara terbuka kepada media selepas kontroversi yang pernah ditimbulkan sebelum ini.
Menurut Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hasan, banyak pengajaran berguna diperolehi selepas mengambil keputusan untuk menguruskan kerjayanya sendiri.
“Saya memohon maaf kepada semua yang pernah tersinggung dengan saya terutama rakan-rakan media yang mengenali saya sejak awal kemunculan dalam industri seni tanah air. Seikhlas hati saya harap kita semua dapat buka ‘buku baru’.
“Terlalu lama saya mencari peluang untuk luahkan perkara ini. Bila saya jemput untuk majlis pelancaran Engkau Milikku, tak sangka rakan-rakan media sedia beri kerjasama untuk hadir,” katanya kepada Astro Gempak.
Alyah ditemui ketika majlis pelancaran muzik video Engkau Milikku di Restoran Rebung, Bukit Aman, Kuala Lumpur.
Tambah Alyah, tempoh dua tahun tanpa sebarang liputan oleh media memberi kesan terhadap kerjaya seninya.
“Selepas ambil keputusan untuk uruskan kerjaya sendiri, baru saya sedar apa yang telah saya lalukan atau terlepas pandang tentang apa yang terjadi sebelum ini.
"Saya bukan sengaja cari gaduh dengan rakan-rakan media dan akui mempunyai kelemahan diri,” ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai single terbarunya, Alyah turut berkongsi pengalaman pengsan sewaktu menjalani penggambaran muzik video,Engkau Milikku.
“Masa penggambaran sebenarnya saya dah rasa kedua-dua kaki kebas dan tidak boleh bernafas, ditambah pula dengan pakaian saya yang agak nipis. Bayangkan saya dan krew berada di ketinggian 18380 kaki dengan suhu negatif 23.
“Mereka segera bawa saya turun ke tempat lebih rendah untuk mengelakkan daripada berlaku perkara lebih buruk,” katanya.
Tambah Alyah, dia berasa terharu apabila pihak krew memberi kerjasama tidak terhingga dan banyak memberi pengalaman dalam penghasilan muzik video tersebut.
“Saya sangat berterima kasih kepada krew produksi di Ladakh, India kerana mereka beri sokongan yang tidak ternilai dan bersungguh-sungguh berikan terbaik untuk muzik video Engkau Milikku. Banyak benda positif yang saya terima sewaktu sama-sama dengan mereka di sana,” katanya.
Dalam pada itu Alyah turut menjelaskan, hampir RM200,000 dihabiskan untuk menghasilkan muzik video Engkau Milikku.
“Bukan saya sahaja yang keluarkan duit, ada beberapa penaja seperti Belessa Premium, Chocotainer, Amanda Culture dan Mahsuri Travel & Tours turut sudi menjayakan muzik video saya.
“Sejak muzik video Tak Mungkin Kerna Sayang saya labur duit sendiri sehingga single terbaru Engkau Milikku. Sejujurnya saya tidak pernah putus asa untuk hasilkan sesuautu yang bagus sebab apabila kita beri sesuatu yang terbaik dan ikhlas, pasti dapat balasan yang setimpal,” katanya.
Foto Kredit: Framme.studio
Must-Watch Video