Anuegarah MeleTOP ERA 2020 (AME 2020) yang berlangsung dalam norma baharu malam tadi tidak hanya mengiktiraf anak seni tempatan dengan undian peminat.

Cukup prihatin, pihak produksi mengangkat dua figura yang disifatkan sebagai adiwira negara melalui dua anugerah yang diberikan khas kerana sifat mulia dan pencapaian mereka.

Mereka adalah Tan Sri Dato' Seri Dr. Noor Hisham Abdullah yang merupakan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia dan pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew.

DG Hisham diberikan penghormatan menerusi Anugerah Khas MeleTOP kerana sumbangannya yang tidak terhitung sepanjang menangani pandemik Covid 19 di Malaysia. Bersama anugerah tersebut, pihak produksi turut memberi RM10, 000.

Tidak hadir ke majlis yang berlangsung di Putrajaya International Convention Centre (PICC), figura ini bagaimanapun menyampaikan ucapan terima kasih di atas penghargaan yang diberikan lewat sebuah mesej ringkas yang bermakna.

"Anugerah ini saya tujukan kepada semua frontliners kita," kata DG Hisham dalam rakaman video yang ditayangkan.

Sementara itu Ebit Lew yang hadir ke majlis mendapat pengiktirafan Anugerah Wira MeleTOP atas keprihatinannya membantu masyarakat.

Dalam ucapannya, Ebit mengucapkan syukur dan berterima kasih kerana kerja amal dan kebajikan yang dilakukannya sepanjang pandemik Covid 19 turut memberi impak yang baik kepada seluruh masyarakat.

Melalui laman Instagramnya, figura kesayangan ramai ini menuliskan penganugerahan yang diberikan kepadanya adalah sebuah rezeki sempena ulang tahun ke36nya pada 21 Disember 2020, hari ini.

"Syukur segala puji milik Allah. Alhamdulillah rezeki di hari lahir ini 21 Dis. Terima kasih Anugerah khas wira Meletop ini.

"Syukur dapat berkongsi ilmu sedikit tadi. Covid 19 ini ujian besar untuk kita semua. Semoga menjadi asbab kebaikan," tulis Ebit.

Terdahulu, AME 2020 berlangsung sukses setelah tertanggung sejak April lalu. Penyanyi Haqiem Rusli dan Siti Nordiana memenangi anugerah utama iaitu Top Top MeleTOP Lelaki dan Perempuan bagi tahun ini.

A post shared by Ebit Lew (@ebitlew)


Kredit Foto: The Star
Instagram:@ebitlew, @meletop