Pelakon berbakat besar, Amerul Affendi mengakui akan menyertai sesi uji bakat bagi filem adiwira, Keluang Man.

Namun, pelakon yang baru sahaja muncul dengan naskhah Sumpahan Jerunei itu meletakkan syarat sebelum menyertai uji bakat filem yang diadaptasi daripada siri animasi popular tempatan berkenaan.

“Bila lakonan jadi hobi… Cukup satu juta RT atau Repost di Twitter (platfrom X), satu juga like di Instagram, satu juta like di TikTok, abang pergi uji bakat ini, demi kamu,” tulisnya di platform X baru-baru ini.

Meninjau ruangan komen, ramai yang memberikan sokongan positif terhadap pengumuman Amerul itu.

“Bro, watak ni memang dicipta untuk kau kot.”

“Bertahun-tahun teringat pasal Keluang Man ni and I feel like there are no other actors would suit this except you.”

“I'm rooting for you. All the best.”

Pencarian bakal baru yang bersesuaian untuk watak utama filem Keluang Man masih dibuka dan diteruskan hingga 27 Ogos ini.

Pencarian bakat yang bermula sejak 28 Julai lalu itu terbuka buat semua warganegara Malaysia, lelaki, berusia dalam lingkungan 21 hingga 40 tahun.

Selain itu, pihak produksi turut mencari pelakon yang fasih berbahasa Melayu, berperwatakan menarik dan berpersonaliti unik serta mempunyai fizikal yang tegap. Mempunyai kemahiran seni mempertahankan diri adalah satu kelebihan.

Filem Keluang Man versi live action ini diterbitkan oleh Astro Shaw dan bakal diarahkan pengarah siri High Council dan juga penulis filem Polis Evo, Anwari Ashraf Hashim.

Sedang memulakan fasa pra-produksi, semua dialu-alukan untuk menyertai filem yang berasal dari siri animasi lagenda itu.

Bagi yang berminat, layari platform media sosial Instagram Astro Shaw atau Astro Gempak bagi mendapatkan imbasan kod QR untuk menghantar video tentang diri dan personaliti anda.

Imbas kod QR, muat naik video berdurasi maksimum 3 minit tentang personaliti anda berserta gambar, dan tekan butang hantar. Video hendaklah dalam format mp4 sahaja (saiz fail tidak melebihi 300mb).

Calon yang terpilih dalam senarai pendek akan mendapat notifikasi dari pihak produksi.

Mereka akan diberikan penerangan tentang ciri-ciri karakter untuk proses uji bakat fasa kedua secara fizikal di Kuala Lumpur atau Selangor.

Sebanyak 10 bakat yang terbaik akan dipilih untuk saringan fasa ketiga sebelum pihak produksi mendedahkan siapa yang berjaya membawa watak Keluang Man.

Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, watak ikonik ini amat dekat dengan penonton dan cuba untuk meneroka bakat baru.

"Dalam usaha menghasilkan karya berkualiti, Astro Shaw mengambil langkah untuk meneroka inisiatif ini dengan membuka peluang kepada para selebriti tanah air serta masyarakat umum di luar sana untuk mempamerkan bakat terpendam.

"Kami berharap pencarian ini dapat menampilkan bakat yang menepati kriteria watak adiwira itu," katanya.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.keluangman.com atau kunjungi media sosial Instagram, Twitter, TikTok Astro Shaw atau Astro Gempak.

BACA: Uji Bakat Filem Keluang Man Dilanjutkan Sampai 27 Ogos Ini!​