Sekilas
- Akim Ahmad menolak beberapa tawaran persembahan untuk beri fokus penuh pada program Gegar Vaganza Fantasia (GVF) tanpa ganggu jadual konsert Ahad.
- Beliau juga berjaga-jaga kawal tenaga supaya tidak keletihan ketika beraksi di pentas GVF yang berlangsung selama 11 minggu setiap Ahad, 9 malam di Astro Ria.
- GVF musim ini menampilkan 13 peserta termasuk Akim dan bekas bintang Akademi Fantasia, dengan Nabil Ahmad, Jihan Muse dan Sherry Alhadad sebagai hos serta juri terkenal seperti Datuk Ramli MS.
Penyanyi Akim Ahmad mengakui dia ada menolak beberapa tawaran melakukan persembahan disebabkan mahu memberi komitmen sepenuhnya terhadap program Gegar Vaganza Fantasia (GVF).
Akim atau nama sebenarnya Afiq Hakim Ahmad, 35, bagaimanapun meluahkan rasa syukur apabila ada juga undangan nyanyian yang diterima tidak bertindih dengan jadual konsert mingguan.
“Ada (tolak show), cuma kebanyakannya bila saya tengok jadual Alhamdulillah tak ada berlanggar dengan hari Ahad.
“Kebanyakannya show macam minggu ini ada hari Rabu, Jumaat dan Sabtu. Jadi tak ada percanggahan atau pelanggaran.
“Adalah satu atau dua hari tak dapat buat latihan dan ‘sound check’,” katanya kepada Gempak ketika ditemui seusai konsert minggu ketiga GV Fantasia pada Ahad lalu.
Dalam pada itu, vokalis kumpulan Akim & The Majistret tersebut menyedari perlu lebih bijak menguruskan tahap kecergasan serta mengawal penggunaan tenaga sepanjang minggu agar tidak keletihan ketika beraksi pada malam konsert.
“Sebenarnya tenaga itu saya perlu perhalusi dan kawal supaya saya tak guna lebih energi ke arah yang sia-sia.
“Jadi baguslah, bagi saya kesedaran supaya jangan terlalu melebih menggunakan tenaga supaya tak lemah masa konsert,” ujarnya.
Sebelum ini, Akim diumumkan sebagai peserta kerusi panas dalam GVF bersama tiga lagi bekas bintang Akademi Fantasia (AF) iaitu Felix, Ara dan Farah Diana Anuar.
Kemasukan mereka melengkapkan 13 orang peserta GVF dan akan bertanding bersama sembilan peserta lain iaitu Mawi (AF3), Vince (AF1), Faizal (AF4), Shahir (AF8), Mila Jirin (AF5), Stacy (AF6), Zahid (AF2), Faizul Sany (AF2013) dan Firman Bansir (AF2014).
Menambahkan lagi keterujaan musim ini, GV13 digerakkan oleh trio hos kegemaran ramai iaitu Nabil Ahmad, Jihan Muse dan Sherry Alhadad.
Sementara itu, barisan juri pula masih mengekalkan tiga nama besar yang cukup dihormati dalam industri muzik, iaitu Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat.
Manakala Celcom Digi pula merupakan penaja rasmi Gegar Vaganza Fantasia. Terima kasih diucapkan kepada penaja kerana terus bekerjasama dengan Gegar Vaganza.
Berlangsung selama 11 minggu, ‘GV13’ bersiaran setiap Ahad, 9 malam di Astro Ria (saluran 104) dan secara langsung dari Auditorium MBSA Shah Alam.
Program ini turut boleh distrim secara On Demand di aplikasi Astro GO dan Sooka.