MUZIKAL LAWAK SUPERSTAR 2019
Anak Alami Masalah Injap Jantung Terbalik & Jantung Berlubang, Ali Puteh Mohon Doa Semua
Pelawak yang juga anggota kumpulan Puteh, Ali, memohon orang ramai dan para sahabat agar mendoakan kesihatan puterinya, Sharifah Nur Ainul Mardhiah.
Ali ketika dihubungi Gempak memberitahu, Ainul Mardhiah kini dirawat di Hospital Ampang selepas disahkan mempunyai masalah jantung.
“Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan saya ketika ini. Ainul Mardhiah baru berusia seminggu dan pada mulanya dimasukkan ke wad kerana jaundice.
“Namun selepas pemeriksaan lanjut dilakukan, anak saya disahkan mempunyai masalah injap jantung terbalik dan jantung berlubang,” katanya.
Tambah Ali lagi Ainul Mardhiah dipindahkan daripada Pusat Rawatan Islam Kohilal, Taman Melawati ke Hospital Ampang.
Ali juga sedang menunggu jawapan daripada Hospital Serdang untuk rawatan lanjut dan Ainul Mardhiah akan dipindahkan ke sana.
“Menurut doktor pembedahan akan dilakukan dan mengambil masa agak panjang. Saya hanya menanti keputusan daripada doktor pakar di Hospital Serdang.
“Terima kasih yang mendoakan Ainul Mardhiah dan saya harap kawan-kawan semua dapat terus mendoakan kesihatan anak saya dan semoga semua urusan berjalan lancar,” ujarnya.
Reda dengan keadaan Ainul Mardhiah, Ali menganggap ini dugaan buatnya dan isteri serta menyerahkan semuanya kepada Allah SWT selain berusaha untuk memastikan anak keduanya itu kembali sihat.
“InsyaAllah, Allah SWT tidak akan menguji hambanya jika orang itu tidak mampu menghadapi dugaan…Semuanya akan baik,” katanya.
Dalam pada itu Ali yang juga bintang Muzikal Lawak Superstar (MLS) memberitahu, keberadaannya di pentas program realiti tersebut bergantung kepada keadaan.
“Kalau boleh buat persembahan, saya ada. Jika tidak, mungkin terpaksa berehat. Apa pun, MLS adalah tanggungjawab, kerja,” ujarnya positif.
Di pentas MLS, Ali bergandingan bersama Mamak Puteh dan Tomok dalam kumpulan New Boh.
Must-Watch Video