Anak kepada pelakon Lagenda AR Badul, Mejar Zahir Armaya menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu , Sabah, pada pukul 9.20 pagi tadi.

Menurut berita yang viral menerusi aplikasi WhatsApp, Allahyarham dikejarkan ke hospital selepas tertembak ketika melakukan demonstasi upacara Paluan Berundur di Markas Briged Kelima Infantri Malaysia Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah.

Menerusi mesej tular tersebut juga meminta semua unit di bawah naungan 21 Grup Gerak Khas Komando (GGK) menurunkan bendera separuh tiang.

Allahyarham merupakan anggota yang berpengalaman dalam melakukan demonstrasi keupayaan dan video demontrasi tersebut pernah tular di media sosial sebelum ini.

Ibu saudara Allahyarham Mejar Zahir, Hajjah AR Romsia ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

“Maaf, saya baru mendapat khabar duka ini. Semoga Allahyarham anak saudara saya ditempatkan di kalangan orang-orang beriman.

“Masih terkejut dengan berita ini dan tidak boleh nak komen banyak. Cuma saya kesal apabila video ketika insiden tular.

“Harap semua dapat hentikan penularan video, jagalah hati keluarga Allahyarham dan kami semua,” katanya.

Allahyarham Mejar Mohd. Zahir yang telah berkeluarga merupakan pegawai di pasukan 11 Rejimen Gerak Khas.

Jenazah dijangka akan dibawa ke Masjid As-Salam, Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah dan akan disolatkan di masjid yang sama.