BERITA
Anak Lelaki Fazley Yaakob 'Kaku' Gara-Gara Didatangi Wanita Bergelek Ketika Makan
Cef selebriti dan penyanyi, Datuk Fazley Yaakob berkongsi sebuah video yang memaparkan dirinya bersama keluarga menikmati makan malam di sebuah restoran makanan orang Lubnan di Australia.
Bagaimanapun, video yang dimuat naik di Instagram TV (IGTV) itu mengundang perhatian netizen apabila kedai makanan berkenaan menyediakan persembahan tarian perut (belly dancing) kepada para pelanggannya.
Video tersebut turut memaparkan reaksi anak lelakinya, Ahmad Fariedz Shah yang terkejut dengan persembahan tarian gelek tersebut sebelum bertindak menundukkan pandangannya.
"Semalam, kami semua dibawa makan di sebuah kedai makanan Lubnan sempena menyambut hari jadi keluarga terdekat. Tengah-tengah makan tiba-tiba ada penari keluar.
"Terkejut juga kami semua tapi kena sportinglah kan sebab semua yang hadir turut enjoy dengan persembahan mengejutkan itu. Yang paling seronok @elliefazley lah, dia pun goyang-goyang perut, tapi abang dia @fariedzfazley malu-malu jadinya!," kongsi Fazley.
Sungguhpun begitu, menurut Fazley, dia memuji tindakan anak sulungnya itu yang pandai menjaga pandangan matanya daripada melihat perkara yang tidak sepatutnya.
"Sebenarnya, saya bangga Payish bersikap sebegitu, pandai dia bezakan apa yang patut tengok dan apa yang patut ditundukkan pandangannya," katanya.
Perkongsian berkenaan kemudian turut mendapat pelbagai respons dalam kalangan pengikutnya. Ada yang menyifatkan tindakan Fazley membawa anaknya untuk ke restoran tersebut agak kurang sesuai.
"Ada ke patut kedai makanan dihidang dengan tarian macam tu, Astaghfirullah.
"Tak elok untuk kanak-kanak," tulis sebahagian netizen.

Bagaimanapun, ada juga pihak yang menjelaskan bahawa tarian tersebut merupakan budaya masyarakat Lubnan dalam menyambut tetamu.
"Ini tradisi orang Lebanon untuk menyambut tetamu. Macam Malaysia menyambut dengan tarian kebudayaan. Masing-masinglah kan. Antara anda enjoy atau tak. Terpulanglah. Tak sporting cari kedai makan lain. Peace!," jelas salah seorang netizen.
Bahkan, pengacara Ahmad Fedtri Yahya turut menyokong bahawa persembahan sebegitu bukanlah sesuatu yang aneh di Lubnan.
"27 peratus je orang Lubnan beragama Islam. Selainnya memang Arab tapi majoriti bukan Muslim. Kristian, Druze, Maronite dan lain-lain," jelasnya.
Fazley kini bersama keluarganya bercuti di Perth, Australia.
Must-Watch Video