Penyanyi dan pelakon Andi Bernadee sudah mula bekerja selepas ‘berehat’ dan baru-baru ini berpeluang beramah mesra dengan para peminatnya di Ipoh, Perak, pada Sabtu lalu.

Itu juga merupakan kemunculan pertama Andi selepas kerajaan mengumumkan menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

"Sejak PKP lalu saya tak pernah turun padang bertemu peminat, lama juga rasanya. Alhamdulillah saya berpeluang bersua muka dengan mereka.

“Seronok juga bila macam-macam feedback bila jumpa mereka. Ada yang cakap mereka suka saya sebagai pelakon, ada pula yang rindukan nyanyian saya,” katanya teruja.

Ditanya mengenai perkembangan terkini selepas menjalani rawatan Islam akibat perbuatan sihir, Andi berkata dia sudah kembali ke set penggambaran.

“Saya dah masuk set penggambaran dan baru lepas menjalani penggambaran untuk program televisyen. Saya juga akan terlibat dalam dua buah drama, satu siri pendek untuk raya ni, satu lagi siri drama episod.

“Walaupun Andi diuji dengan perbuatan sihir, kerja untuk mencari rezeki tetap Andi teruskan demi kelangsungan hidup anak seni.

“Apa yang berlaku adalah dugaan daripada Allah SWT dan hidup mesti diteruskan. Tambahan pula dalam keadaan sekarang semua berebut untuk mendapatkan peluang atau mencari rezeki.

“Saya sebagai anak seni kena berusaha dan kena kuat bekerja agar untuk hidup. Kerja macam kami tak ada gaji bulan, ibaratnya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, duta Fipper ini turut merasmikan butik terbaru jenama tersebut di Fipper di Aeon Seri Manjung, Ipoh.

Menurut Andi, Fipper kini sedang menjalankan kempen bersama Zoo Negara dengan setiap pembelian Trucker Cap.

“Kalau beli Trucker Cap yang berharga RM9.90 secara tak langsung anda telah menyumbang kepada Zoo Negara. Jumlah jualan ini akan diserahkan sepenuhnya kepada Zoo Negara bagi menampung kos operasi.

“Saya menyeru kepada orang ramai untuk terus menyokong program ini demi membantu haiwan-haiwan di Zoo Negara.

"Saya sendiri diberi penerangan tentang perbelanjaan untuk memelihara haiwan di sana, sangat besar jumlahnya. Jadi, marilah sama sama kita membantu pihak Zoo Negara,” katanya.

Dalam pada itu, Andi berkata Fipper juga merancang untuk menghasilkan video raya edisi Fipper.

“Ia sepatutnya dilaksanakan tahun lepas tetapi ia ditangguhkan sebab PKP, harapan saya agar tahun ini akan terlaksana projek video raya bersama Fipper,” katanya.

Andi juga baru sahaja melancarkan single terbaru berjudul Kais Pagi Kais Petang.