BERITA
Anggota Polis Yang Direman Kerana Kes Seksyen 302 Ditemukan Mati Dalam Sel Tahanan
Seorang anggota polis dalam tahanan ditemui meninggal dunia di Pusat Koreksional Perlis, Guar Nangka, Arau, pada Isnin.
Mangsa berusia 28 tahun berasal dari Setiu, Terengganu itu ditemui tidak sedarkan diri dalam selnya oleh wadar sekitar pukul 4.30 petang.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi, berkata pihaknya menerima maklumat kejadian pada jam 5.25 petang dan mendapati mangsa adalah anggota polis.
"Mangsa diarah ke Mahkamah Majistret Kangar pada jam 8 pagi semalam bagi menghadiri perbicaraan namun enggan berbuat demikian.
"Mangsa yang berada dalam selnya dilawati setiap jam oleh wadar bertugas dan setiap tinjauan mendapati dia hanya diam sambil berbaring di tempat tidur.
"Pada jam 4.30 petang, wadar yang meronda cuba mengejutkan lelaki itu yang disangka tidur namun mendapat dia tidak lagi bergerak dan segera mengarahkan mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar.
"Pada jam 5.10 petang, pihak hospital mengesahkan dia sudah meninggal dunia sebelum tiba di hospital," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, laporan polis berhubung kematian banduan itu dibuat dibuat pada jam 5.25 petang.
"Siasatan awal mendapati si mati adalah anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis yang direman kerana kesalahan Seksyen 302 Kanun Keseksaan sejak dua tahun lalu.
"Mangsa ditahan reman di Pusat Koreksional Perlis, Guar Nangka sejak 17 Mac 2023 dan menunggu untuk dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Tinggi, Kangar," katanya.
Ahmad Mohsin berkata, mangsa mempunyai rekod psikiatri yang dirujuk di beberapa hospital sejak 2017 dan tiada unsur jenayah ditemui yang boleh menjurus ke arah punca kematian.
"Mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar bagi proses bedah siasat," katanya sambil menambah kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.
Sumber - BH
Must-Watch Video