Gelombang Korea di Malaysia nampaknya semakin hebat. Bukan setakat muzik dan drama mereka menjadi kegilaan ramai, malah makanan Korea juga semakin diterima masyarakat.

Disebabkan itu, syarikat Penerbangan AirAsia telah memperkenalkan satu lagi hidangan istimewa di bawah menu Santan iaitu ayam pedas manis Korea atau lebih dikenali sebagai 'Dakgangjeong'.

Menurut Ketua Bahagian Inflight Kumpulan AirAsia Catherine Goh, menu ini menampilkan hidangan ketulan isi ayam lembut bersalut tepung rangup yang disadur dengan sos manis pedas Korea . Juadah ini akan dihidangkan bersama nasi putih dan sayuran.

Menurutnya, penghasilan menu ini juga merupakan kolaborasi pertama antara AirAsia bersama personaliti televisyen dan pengusaha restoran terkemuka Korea, Chef Hong Seok-Cheon.

"Hidangan Korea kini semakin popular dan sentiasa menjadi permintaan tetamu, justeru kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan Chef Hong Seok-Cheon untuk menawarkan hidangan Korea terbaik dalam penerbangan kami.” katanya pada majlis pelancaran menu terbabit di Food Studio, Kuala Lumpur, hari ini.

Bagi yang teringin menikmati ‘Dakgangjeong’ ini , anda boleh membuat pra-tempahan kombo hidangan yang ditawarkan dengan minuman percuma dengan hanya RM10 untuk penerbangan AirAsia (kod penerbangan AK) dan RM15 untuk penerbangan AirAsia X (kod penerbangan D7) ke semua destinasi AirAsia.