Laman Utama

“Anti Vaksin Bukan Ancaman Kepada Kita, Tak Payah Bergaduh…Tak Payah Kecoh…” -Yasin Sulaiman

gempak
Fiza Kamarudin
20/10/2021
09:40 MYT
Sponsor Banner
“Anti Vaksin Bukan Ancaman Kepada Kita, Tak Payah Bergaduh…Tak Payah Kecoh…” -Yasin Sulaiman
Penyanyi Yasin Sulaiman memohon warganet berhenti berbalah mengenai anti vaksin atau individu yang enggan mengambil suntikan tersebut.
Yasin berkata, dia tidak meraikan golongan tersebut tetapi hanya menghormati pendirian dan hak masing-masing.
“Di sekeliling saya ramai tak ambil vaksin lagi dengan alasan pelbagai atau mungkin juga mereka berasakan tak nak terbabit dengan agenda vaksin. Ikut kepercayaan masing-masing.
“Tapi bagi saya ia tak jadi masalah pada negara pun. Sebab kadar vaksinasi seluruh negara pun sudah mencapai 90 peratus.
“Lagi satu, kita tak boleh paksa mereka. Dalam perubatan pun sama. Cuma, pengambilan vaksin ini adalah untuk kesedaran bersama bagi melindungi diri kita,” katanya.
Tambah Yasin lagi, mereka yang digelar anti vaksin ini bukanlah ancaman buat mereka yang sudah mengambil suntikan vaksin.
“Saya tak raikan pendapat mereka, tapi saya hormat pendirian mereka. Sebab soal masukkan sesuatu dalam badan adalah atas diri sendiri. Jadi, apa pun keputusan mereka, itu hak mereka.
“Bagi saya, buat masa sekarang ini bukan satu masalah. Melainkan kalau majoriti yang tak nak vaksin, itu baru masalah.
“Anti vaksin bukanlah ancaman buat kita. Kalau tengok sekarang pun kes harian kita makin turun. Tak perlu nak kecoh atau saling bergaduh di media sosial. Pada akhirnya yang tak nak ambil tetap tak nak ambil,” katanya.
Berkongsi mengenai perkembangan terbaru, Yasin bakal melancarkan lagu baru berjudul Vaksin Rindu, dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Persatuan Amal Kemanusiaan Malaysia.
Menurut Yasin lagu tersebut dilancarkan sebagai usaha dan inisiatif agar orang ramai yang belum mendapatkan vaksin boleh berbuat sedemikian.
“Saya terus terima dan nak buat selepas diberi tawaran. Lagi pula, saya suka idea yang dibawa Persatuan Amal Kemanusiaan Malaysia ini.
“Dalam masa sama, saya lebih kepada nak sokong kempen dijalankan mereka. Saya nak raikan matlamat kempen mereka menerusi lagu Vaksin Rindu ini.
“Melihat usaha mereka ini, ia sesuatu yang bagus kerana ada kesedaran dan mahu tingkatkan kesedaran kepada masyarakat terhadap suntikan vaksin di kala virus Covid-19 masih melanda negara,” katanya.
Berkongsi lanjut mengenai lagu itu, Yasin berkata dia juga turut memberikan sedikit sentuhannya pada melodi dan lirik.
“Pada awalnya memang saya kena menyanyi saja. Apabila tengok lirik, ia ‘cute’ juga. Lagu sederhana dan santai saja. Disebabkan karya ini daripada NGO, saya tidak boleh ‘treat’ mereka macam orang lain. Jadi, saya ada baiki sikit pada bahagian lirik supaya lagu itu lebih baik hasilnya.
“Sebelumnya saya minta izin dan mereka okay. Ketika dapat tawaran itu pun, muzik sudah siap. Jadi, saya bantu dalam proses ‘mixing’ sikit. Alhamdulillah, hasilnya diharap dapat diterima baik peminat dan sama-sama kita menghayati lagu ini,” katanya.
Lagu Vaksin Rindu merupakan ciptaan AkhMas dan Yasin Sulaiman dan lirik oleh Yasin Sulaiman, Suhaimi dan Ghazali itu dinyanyikan oleh Yasin Sulaiman.
Sementara itu, Persatuan Amal Kemanusiaan Malaysia berharap lagu Vaksin Rindu yang diterbitkan mereka dapat menaikkan semangat seluruh rakyat Malaysia selepas hampir dua tahun bergelut dengan situasi pandemik Covid-19.
“Diharapkan lagu ini dapat menaikkan semangat selepas musibah yang menduga kita. Untuk sama-sama membantu dan memberi sumbangan boleh ke arifnasional.com atau dapatkan merchandise di vaksinrindu.com,” katanya.
Lagu Vaksin Rindu bakal dilancarkan secara rasmi pada 21 Oktober ini.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live