Penyanyi, Anuar Zain memilih untuk memberikan anak patung beruang sebagai hadiah istimewa kepada peminat yang hadir ke konsert AZ40 Exclusive Up Close & Personal yang berlangsung di Jiospace, Petaling Jaya, Selangor pada Sabtu.

Menurut Anuar atau nama penuhnya Shahrul Anuar Zain, 53, tujuannya memberikan anak patung beruang itu kepada peminat adalah sebagai tanda untuk kenang-kenangan dan sebagai simbolik kasih sayang buat mereka yang sentiasa memberi sokongan kepadanya.

"Anak patung beruang ini membawa simbolik tentang kasih sayang, bahannya yang lembut boleh membuatkan orang yang pegang dan peluk itu rasa sangat tenang.

“Anak patung ini boleh dijadikan sebagai salah satu bahan untuk melepaskan stress.

“Saya juga antara yang meminati anak patung beruang. Jadi apa salahnya, untuk saya hadiahkan kepada peminat sebagai tanda kenang-kenangan," katanya ketika ditemui Gempak seusai konsert tersebut.

Mengulas mengenai perbelanjaan yang dikeluarkan untuk patung tersebut, Anuar memilih untuk tidak berkongsi jumlah yang dikeluarkan bagi tiga saiz anak patung beruang tersebut.

“Sebenarnya idea untuk memberikan anak patung beruang ini datang daripada pengurusan Anuar Zain Network sendiri. Demi peminat, kami mengeluarkan belanja lebih dengan memberikan hadiah anak patung beruang.

"Terdapat tiga saiz anak patung beruang yang diberikan iaitu kecil sebanyak 800 unit, sederhana (250) dan dua buah anak patung beruang bersaiz besar untuk diberikan kepada peminat serta pasukan produksi yang menjayakan konsert saya,” tambahnya.

Dalam pada itu, Anuar turut meluahkan rasa syukur kerana walaupun konsert AZ40 Exclusive Up Close & Personal yang diadakan kali ini cuma berskala kecil, namun bagi Anuar, konsert tersebut lebih bermakna kerana lebih terasa dekat bersama peminatnya.

"Alhamdulillah, terima kasih kepada semua yang datang memberikan sokongan kepada saya. Penganjuran konsert tidak kira sama ada berskala besar atau kecil, masing-masing ada kelebihannya tersendiri.

“Konsert seperti ini (bawah 1,000 penonton), buat saya lebih dekat dengan peminat dan rasa kerja keras saya selama ini lebih dihargai.

“Bila saya anjurkan konsert berskala kecil seperti ini, saya boleh nampak lebih jelas lagi kasih sayang peminat dan boleh mendekati mereka untuk bergambar,” ujarnya.

Dalam selang-seli persembahan, Anuar sempat mengagihkan patung beruang dan bergambar bersama peminat yang bertuah.

Konsert tersebut turut dimeriahi dengan selingan 'game show' yang turut disertai peminat.

Berita Trending: Ziana Zain Sebak Dengar Ucapan Anak - “Jangan Risau Mama, Kami Adik Beradik Ada…”

Seramai 1,000 orang peminat hadir memeriahkan konsert AZ40 Exclusive Up Close & Personal termasuk kedatangan peminat daripada Singapura dan Indonesia pada sabtu.

Sebanyak 20 lagu hitsnya telah didendangkan antaranya Sesucinya Cintamu, Lelaki Ini, Sedetik Lebih dan Andainya Takdir.