Penyambung legasi seni tradisional Melayu Dondang Sayang, Datuk Mohammad Baharim Mohd Sharip, 78, diiktiraf dalam Anugerah Seni Cameronian BOH Ke-18 menerusi Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat.



Anak jati Melaka itu mengakui tidak pernah memikirkan soal anugerah, sebaliknya, bagi beliau, apa yang pasti, perjuangan seni Dondang Sayang yang diwarisi daripada datuk dan bapanya, terus diangkat dan dimainkan sehingga kini.

"Soal anugerah ini tidaklah menjadi perkara utama yang difikirkan. Saya hanya mahu bekerja sahaja untuk memperjuang seni warisan Melayu ini.

"Anugerah ini sekiranya orang mahu beri, saya akan terima sahaja. Soal bayaran juga saya letak tepi, asalkan orang ramai dapat mendalami ilmu seni tanah air.

"Saya memang tidak pernah melupakan Dondang Sayang ini. Saya sudah bukukan sebanyak 2,000 pantun yang dihasilkan sendiri.

"Saya akan terus memperjuang dan memartabatkan Dondang Sayang supaya ia tidak hilang. Di Melaka, masih ada ramai individu yang mempraktikkan Dondang Sayang, termasuk di sekolah," katanya kepada media.

Dondang Sayang – tersenarai sebagai warisan budaya oleh UNESCO – merupakan seni tradisional Melayu yang masih dimainkan di Melaka oleh orang Melayu, Baba Nyonya, Cheti dan Portugis.

Mohd Baharim mempelajari cara bermain biola dan menyanyi mengikut gaya seni tradisional dari datuknya yang juga seorang seniman Dondang Sayang.

Beliau telah menumpukan lima dekad terakhir dalam hidupnya untuk membuat persembahan Dondang Sayang, dan mempunyai lima album.

Mohd Baharim menyertai senarai cemerlang penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat BOH Cameronian termasuk Dato' Krishen Jit (2002), Datuk Ramli Ibrahim (2003), Dato' Dr. Faridah Merican (2004), Dalang Dollah Baju Merah (2005), Dato' Syed Alwi bin Syed Hassan (2006), Datuk Profesor Ghulam-Sarwar Yousof (2007), Lee Lee Lan (2008) dan The Temple of Fine Arts (2009).

Bertemakan 'A New Day, Setia Pada Senimu', Anugerah Seni Cameronian BOH Ke-18 menyampaikan 30 anugerah dan sejumlah wang tunai RM44,000 kepada penggiat seni daripada pelbagai bidang termasuk tarian, muzik, teater muzikal dan teater.

Penerima Anugerah diumumkan dalam tiga bahagian iaitu, teknikal dan reka bentuk, artistik serta persembahan.

Setiap pemenang subkategori menerima trofi Anugerah Seni Cameronian BOH Ke-18 dan hadiah wang tunai RM1,000 manakala pemenang terbaik menerima trofi dan hadiah wang tunai RM5,000.

Selain mengiktiraf individu atau pasukan yang menunjukkan kecemerlangan, anugerah berkenaan turut menyediakan trofi kepada kru belakang tabir termasuk individu bertanggungjawab dalam bidang kostum dan solekan, muzik dan bunyi, reka bentuk visual dan set serta reka bentuk pencahayaan.

Semak senarai pemenang di sini