Gaya Hidup
Apple Tangguh Pembuatan iPhone 12 Gara-Gara Wabak COVID-19, Harap Penggemar Bersabar
Syarikat teknologi multinational terkenal Apple dilaporkan menangguhkan proses pembuatan dan pengeluaran besar-besaran model terbaharu iPhone, iPhone 12, sekurang-kurangnya untuk tempoh sebulan.
Memetik laporan Astro Awani, The Wall Street Journal (WSJ) melaporkan penangguhan bekalan dan pembuatan ini dilakukan berikutan pandemik COVID-19 yang menular di seluruh dunia.
Namun perkara itu dijangka tidak memberi kesan besar ke atas pelancaran model terbaharu mereka.
Apple biasanya melancarkan model iPhone terbaharu pada bulan September dan memulakan penghantaran peranti tersebut sebelum akhir bulan yang sama.
Hal ini dapat dilakukan kerana pembuatan besar-besaran berjalan pada musim panas, yang mungkin tidak berlaku tahun ini.
WSJ bagaimanapun melaporkan bahawa Apple masih akan mengeluarkan iPhone baharu pada bulan Julai hingga September, tetapi kelewatan pengeluaran besar-besaran mungkin akan menyebabkan kekurangan jumlah model terbaharu itu.
Apple sebelum ini dilaporkan akan memperkenalkan empat model iPhone baharu, semuanya dengan skrin OLED 5.4-, 6.1-, atau 6.7-inci.
Ini bukan kali pertama Apple mengalami kelewatan pengeluaran iPhone.
Terdahulu, iPhone X dilancarkan pada masa yang sama dengan iPhone 8, iaitu pada bulan September 2017, tetapi masalah pengeluaran membuatkan pengguna hanya boleh mendapatkannya di kedai pada November tahun yang sama.
Sumber: Astro Awani
Must-Watch Video