Sekilas
- Wali Band sering kembali ke Malaysia dan menganggap negara ini sebagai rumah kedua mereka.
- Vokalis Faank menegaskan kumpulan itu akan terus mengekalkan unsur ketuhanan dan kerohanian dalam persembahan mereka.
- Mereka percaya setiap individu boleh menjalankan tugas dakwah melalui bidang pekerjaan masing-masing.
Kerap kembali menghiburkan peminat di Malaysia, kumpulan popular Indonesia, Wali Band menyerahkan kepada pendengar untuk menilai keistimewaan yang membuatkan mereka terus mendapat sambutan.
Vokalisnya, Faank berkata, mereka bersyukur masih diberikan kepercayaan untuk mengadakan persembahan di negara ini.
“Sebenarnya perkara seperti itu orang lain yang boleh menilai. Tetapi satu perkara yang Wali syukuri ialah ternyata kami masih dipercayai untuk datang lagi dan lagi ke Malaysia,” katanya.
Ditanya sama ada mereka tidak jemu kembali ke sini, Faank menyifatkan Malaysia sebagai rumah kedua.
“Alhamdulillah. Seperti kata saudara saya di Malaysia, ‘Malaysia rumah kedua saya’,” ujarnya.
Wali Band ditemui pada sesi Meet & Greet Bersama Wali Band malam tadi.
Dalam masa sama, Faank berkata, kumpulan itu akan terus mengekalkan unsur ketuhanan dan kerohanian dalam persembahan mereka.
Menurutnya, pesanan mengajak orang ramai melakukan kebaikan boleh disampaikan menerusi apa sahaja pekerjaan.
“Dalam kehidupan, kita tidak mungkin terlepas daripada ketuhanan. Itu jawapan pertama.
“Kedua, banyak pesanan daripada guru kami bahawa apa pun pekerjaan kita, sama ada seniman, penghibur, wartawan atau apa sahaja, selagi kita boleh berdakwah dan mengajak orang melakukan kebaikan, lakukanlah,” jelasnya.
Faank turut menegaskan tanggungjawab berdakwah boleh digalas setiap individu mengikut bidang masing-masing.
“Insya-Allah, insya-Allah. Tugas dakwah bukan hanya tugas ustaz, kiai atau sesiapa, tetapi setiap orang perlu boleh berdakwah menerusi pekerjaan masing-masing,” katanya.
Wali Band dianggotai Faank selaku vokalis, Apoy (gitar), Tomi (dram) dan Ovie (papan kekunci).
Mereka bakal menjayakan Konsert Wali Exclusive One Night Only anjuran 25th Studio dan Infinity Love Creative Ventures di Megastar Arena, Kuala Lumpur malam ini.