WATCH
APR bawa Volkswagen GOLF R RLMS 536hp ke SEMA
Syarikat APR yang dikenali dengan kepakaran menala kenderaan keluaran Volkswagen Group mengesahkan pihaknya membawa sebuah model Golf R istimewa ke Pameran SEMA kali ini.
APR yang diasaskan pada tahun 1997 adalah firma yang terbabit dengan pengeluaran komponen dan perisian berprestasi global untuk kenderaan jenama Volkswagen, Audi, Seat, Skoda, Porsche dan lain-lain.

Golf itu dinamakan sebagai RLMS dan masih menggunakan enjin asalnya iaitu 2.0 liter empat silinder bersama sistem pengecas turbo.
Cumanya, ada beberapa tambahan dilakukan untuk membantu menganjakkan kuasa kepada 536hp! Kuasa asal kereta itu ialah 292hp.

Resipi untuk meningkatkan kuasa model pacuan semua roda itu adalah menerusi padanan pakej naik taraf enjin Stage 3 APR.
APR juga menaik taraf perisian unit kawalan enjin Golf R itu, dua unit pengecas turbo Borg Warner, sistem pancitan bahan api baharu, pam minyak konfigurasi baharu, bolong kemasukan angin gentian karbon APR, intercooler serta sistem ekzosnya.

Selepas menala semula rangkaian kuasa, beberapa modifikasi perlumbaan ditambah pada model itu termasuk Roll-Control Stabilizer Bars dan Roll-Control Racing Coilover System.
Kereta ini juga dipasang kerangka keselamatan binaan kustom bersama alat pemadam api di dalam kabin. Turut kelihatan set kerusi duduk perlumbaan bersama abah-abah OMP.

Badan jentera itu dibesarkan dengan padanan kit lebar yang nampaknya mengambil inspirasi daripada Volkswagen TCR dan beberapa jentera touring lain.
RLMS turut dipasang splitter hadapan bersaiz besar, spoilter belakang boleh laras dan rim APR yang dibalut tayar Toyo. Spesifikasi lain masih belum didedahkan buat masa ini termasuk harga model bertenaga itu.
Must-Watch Video