Laman Utama

“Arwah Minta Kecilkan Baju…”- Baru Jumpa Minggu Lalu, Ezuwan Ismail Dedah Adibah Noor Kelihatan Pucat & Badan Menyusut

gempak
Gempak
19/06/2022
00:40 MYT
Sponsor Banner
“Arwah Minta Kecilkan Baju…”- Baru Jumpa Minggu Lalu, Ezuwan Ismail Dedah Adibah Noor Kelihatan Pucat & Badan Menyusut
Pereka fesyen dan penyanyi, Ezuwan Ismail tidak menyangka pertemuan dengan Allahyarham Adibah Noor di rumahnya Pandan Indah pada minggu lalu menjadi pertemuan terakhir.
Malah Ezuwan terkejut mendapat berita pemergian arwah Adibah semalam.
"Arwah minta saya mengecilkan baju yang ditempah. Sebelum ini, arwah menempah tiga pasang baju, namun, tidak muat selepas berat badannya turun sebanyak 18 kilogram.
"Ketika itu, barulah arwah buka mulut bercerita mengenai penderitaan dialami apabila menghidap penyakit kanser ovari.
"Doktor mengesahkan kesakitan dialami selama ini akibat penyakit kanser ovari, dua hari sebelum Ramadan.
"Jadi, saya perlu mengecilkan baju yang ditempah ketika Ramadan lalu," katanya ketika dihubungi BH Online.
Ezuwan yang juga anggota kumpulan trio E1 berkata, arwah memaklumkan, rambutnya mula gugur akibat rawatan kimoterapi.
Arwah terpaksa memakai rambut palsu apabila mencari rezeki.
"Saya sempat memberi semangat kepada arwah pada pertemuan terakhir ini.
"Cuma, saya tak sampai hati mahu mengabadikan gambar bersamanya. Wajah arwah pucat apabila berat berat menyusut.
"Saya juga ada bertanya kenapa tidak berkongsi penderitaan dengan khalayak dan rakan media, namun, arwah memberitahu belum ada kekuatan," katanya.
Ezuwan berkata, dia dan arwah tidak selalu bertemu selama lebih 10 tahun bekerjasama dalam menyediakan busana untuknya.
"Kami tak selalu jumpa, banyak berkomunikasi menerusi telefon bimbit atau mesej sahaja.
"Kali pertama kami bertemu di sebuah acara fesyen pada 2011. Kali kedua pula minggu lalu yang menjadi detik terakhir pertemuan kami.
"Kerjasama selama itu berdasarkan kepercayaan kerana ukuran badannya tak banyak berubah. Paling kurang, arwah akan minta besarkan baju lebih seinci.
"Hingga saat ini, hampir 1,000 baju pernah ditempah arwah. Beliau juga jenis menolak tajaan, sebaliknya suka menyokong bisnes rakan.
"Sedih juga sepanjang bekerjasama kami tiada gambar bersama," kata Ezuwan.
Sumber: BH Online (Zaidi Mohamed)
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live