Sekilas
- Pelakon Korea Selatan, Kim Min, mendapat pujian selepas membantu memadamkan kebakaran hutan di Goseong walaupun jaketnya terkena percikan api.
- Kim Min bertindak segera menggunakan alat pemadam api ketika kebakaran berlaku berhampiran tempat penginapannya selepas penggambaran drama Netflix.
- Agensi pengurusannya mengesahkan Kim Min tidak mengalami kecederaan serius dan penggambaran diteruskan seperti dijadualkan.
Pelakon Korea Selatan, Kim Min meraih pujian ramai selepas tindakannya membantu memadamkan kebakaran hutan di Goseong, wilayah Gangwon, Korea Selatan tular di media sosial.
Lebih mencemaskan, jaket yang dipakainya turut terkena percikan api ketika dia berusaha mengawal kebakaran berkenaan.
Menurut laporan News1, kejadian berlaku pada Khamis lalu sekitar jam 5.20 petang waktu tempatan.
Ketika itu, Kim Min sedang dalam perjalanan pulang ke tempat penginapannya selepas selesai menjalani penggambaran drama Netflix, Hon: The Time of the Triangle.
Bagaimanapun, pelakon berusia 44 tahun itu bertindak membantu penduduk setempat sebaik sahaja menyedari kebakaran hutan sedang berlaku berhampiran kawasan berkenaan.
Tanpa menghiraukan keadaan berbahaya akibat api yang marak dan asap tebal, Kim Min dilaporkan menggunakan alat pemadam api untuk membantu mengawal kebakaran.
Ketika usaha memadamkan api sedang dilakukan, percikan api terkena jaket tebal yang dipakainya sehingga menyebabkan sebahagian pakaian tersebut terbakar.
Mujur, kebakaran berjaya dikawal selepas pasukan bomba tiba di lokasi kejadian.
Menerusi beberapa foto yang tersebar, wajah dan leher Kim Min kelihatan kemerahan, manakala jaket berwarna perak yang dipakainya turut mengalami sedikit kerosakan.
Seorang penduduk setempat juga dilihat menghampiri dan memeluk pelakon tersebut sebagai tanda penghargaan atas bantuan yang diberikan.
Susulan kejadian itu, agensi pengurusannya, Ollo Company mengesahkan bahawa Kim Min tidak mengalami kecederaan serius.
“Tiada kecederaan serius dan penggambaran diteruskan mengikut jadual,” menurut wakil agensinya.
Untuk rekod, Kim Min memulakan kerjaya lakonan pada 2011 dan pernah membintangi beberapa produksi popular termasuk The Roundup: No Way Out, Big Bet dan A Shop for Killers.
Baru-baru ini, dia turut mencuri perhatian menerusi program televisyen MBC, I Live Alone yang memaparkan kehidupan sehariannya di Dongducheon.
Menerusi program tersebut, Kim Min menunjukkan kemahirannya menguruskan kediaman sendiri termasuk menjana bekalan elektrik menggunakan generator serta membaiki lantai rumah yang rosak.
Disebabkan gaya hidupnya yang dekat dengan alam semula jadi, pelakon itu turut mendapat jolokan ‘lelaki alam dari Dongducheon’ dalam kalangan netizen.