Astro Malaysia Holdings Bhd (Astro) membuat tuntutan sivil di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap dua premis makanan selepas mendapatkan bukti penstriman dan tayangan kandungan Astro secara haram di premis berkenaan.

Tuntutan sivil tersebut dibuat ke atas Restoran Jamal Mohamed & Sheriff di Petaling Jaya, Selangor serta pemiliknya dan SDP Bistro di Taman Molek, Johor Bahru serta pemiliknya.

Astro seterusnya mendapatkan deklarasi daripada Mahkamah Tinggi bahawa tindakan pemilik premis menayangkan dan menunjukkan kandungan Astro yang berhak cipta kepada khalayak ramai di kawasan premis mereka tanpa kebenaran atau lesen daripada Astro adalah tindakan pelanggaran hak cipta menurut Seksyen 36 Akta Hak Cipta 1987.

Kedua-dua premis serta pemilik mereka mengaku melakukan kesalahan tersebut dan berhenti daripada melanggar hak cipta kandungan Astro. Restoran Jamal Mohamed & Sheriff turut komited untuk melanggan Astro secara sah.

Tuntutan sivil Astro terhadap premis-premis makanan ini adalah berdasarkan duluan yang dilakukan iaitu perintah Mahkamah Tinggi yang didapatkannya dengan Liga Perdana pada November 2022 yang jelas menunjukkan bahawa ia adalah haram untuk premis komersial menayangkan kandungan daripada sumber yang tidak sah termasuk siaran Astro tanpa lesen komersial yang sepatutnya kepada khalayak ramai.

Dalam kes yang berbeza, pengarah-pengarah Robataya Sdn. Bhd. yakni pemilik Scotsman Yakatori Bar di Petaling Jaya telah memohon maaf secara terbuka kerana menyiarkan kandungan Astro tanpa kebenaran setelah diberikan surat perintah henti. Robataya Sdn. Bhd. memasuki perjanjian penyelesaian bersama Astro setelah mengaku bersalah dan melanggan Astro secara sah.

Menurut Ketua Pegawai Jualan dan Pemasaran Astro, Tai Kam Leong, Astro menerima hasil yang positif daripada tuntutan mahkamah terhadap syarikat-syarikat komersial yang telah strim dan menayangkan kandungan tanpa kebenaran secara haram kepada para pelanggan mereka.

“Kami ingin menunjukkan kesungguhan kami dengan mesej yang kuat ini bahawa tindakan keras akan diambil terhadap sesiapa yang didapati bersalah. Cetak rompak memberi impak terhadap kemampuan kami dalam memberi khidmat kepada para peminat kandungan kami serta mengurangkan keupayaan kami untuk melabur dalam sukan premium untuk rakyat Malaysia.

“Cetak rompak memberi impak terhadap seluruh industri kandungan dan menjejaskan ekonomi Malaysia. Kami akan terus melindungi perniagaan Astro dan ribuan pelanggan sah kami daripada mereka yang membuat keuntungan menerusi cetak rompak.

“Kami komited untuk berkerja secara rapat dengan pihak berkuasa, ahli-ahli industri serta pihak berkepentingan dalam memerangi kecurian ini,” katanya.

Kejayaan tuntutan-tuntutan mahkamah ini terhadap syarikat-syarikat komersial tersebut mengikut jejak langkah kes-kes terdahulu di mana mahkamah-mahkamah menjatuhkan denda terhadap individu-individu yang didapati bersalah pelanggaran hak cipta dengan menjual kotak TV yang menawarkan akses tanpa kebenaran ke kandungan Astro.

BACA: Miliki Kotak Media Aplikasi Astro Secara Haram, Wanita Didenda RM30 Ribu​

BACA: Premis Siar Rancangan Sukan & Hiburan Tanpa Lesen, Mahkamah KL Beri Amaran​