Bagi meneruskan objektif dalam memacu transformasi kandungan tempatan ke tahap yang lebih tinggi, selain penawaran pengalaman berbeza kepada penonton, Astro Originals mempersembahkan deretan drama hebat sepanjang 2024 seperti I.D, Framed, X-Change, First Wives dan Projek: Exit.

Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, drama-drama premium Astro Originals yang disiarkan dahulu telah berjaya meraih kejayaan tersendiri.

“Antaranya, Projek: High Council telah muncul sebagai siri yang paling banyak ditonton di Astro Go dan On Demand, mengatasi naskhah-naskhah popular Hollywood yang tersedia di platform kami. Siri itu juga mencatat lebih 1 bilion tontonan di TikTok, meraih lebih 23 juta capaian media sosial, serta tersenarai dalam top 10 paling banyak dicari di Google sepanjang 2023.

“Lebih membanggakan, setiap tahun menerusi kandungan yang dihasilkan, turut mengangkat bakat-bakat tempatan ke persada lebih tinggi dengan meraih pengiktirafan; dan terbaharu seperti Anugerah Perak untuk Pelakon Pembantu Terbaik bagi kategori Program Televisyen / Siri di Content Asia Awards menerusi watak Ayam (Naim Daniel) di dalam Projek : High Council, dan drama LIAR merangkul Anugerah Perak untuk Adptasi Format TV (Skrip) Terbaik, juga di Content Asia Awards.

“Lanjutan daripada momentum kukuh tahun 2023, Astro Shaw terus memperhebatkan kandungan dengan menumpukan kepada konten bertaraf premium merangkumi genre berbeza, jalan cerita segar dan lebih berani yang tidak pernah diketengahkan di Malaysia, serta kualiti produksi mengagumkan yang akan mewarnai gelanggang seni tanah air,” katanya.

Tambah Jastina, pihaknya juga telah mewujudkan kerjasama strategik dengan rumah produksi seperti Alpha 47, Independent Pictures, Radius One dan pengarah-pengarah terbaik negara bagi memastikan sentuhan variasi dalam setiap konten yang dipersembahkan.

“Kami berharap setiap drama premium ini mampu memberi keterujaan kepada penonton dan turut mampu memberi impak positif pada industri seni tempatan,” katanya lagi.

Bermula dengan I.D, siri yang diarahkan oleh sutradara Projek: Anchor SPM dan filem PUSAKA, Razaisyam Rasyid menampilkan genre young adult dan cybercrime, I.D mengisahkan Aidi yang pakar dalam bidang menghasilkan aplikasi, tetapi sering dibuli. Aidi meminati seorang bintang pempengaruh terkenal, Anggun dan dia menggunakan kelebihannya dalam dunia digital dengan mengubah identiti dan penampilan di media sosial untuk mendekati Anggun. Perbuatan Aidi turut menjeratnya kepada jenayah scammer. I.D menampilkan Naim Daniel, Amelia Henderson, Aedy Ashraf, Ellyzza Azizi, Datuk Rosyam Nor dan Betty Banafe sebagai tonggak utama.

Framed pula mengangkat genre fantasy investigative thriller, yang dijayakan gandingan serasi pelakon popular Meerqeen dan Mimi Lana. Turut membintangi Sangeeta Krishnasamy, Riz Amin, Zamarul Hisham, Khir Rahman, Rusdi Ramli, Vanidah Imran​ dan Ram Raaga. Diarahkan oleh pengarah filem aksi, Sein Qudsi, Framed mengenai Lia yang mencari jawapan kepada kehilangan ibunya menerusi sebuah kamera polaroid yang memberi petunjuk gambaran tragedi masa hadapan. Namun, pencarian tersebut telah membawa Lia dan Edi terlibat dalam sebuah konspirasi besar.

X-Change sebuah drama premium genre crime, action, coming of age dan romance, hasil showrunner Lemuel Ong dan diarahkan oleh Nurhanisham Muhammad. Siri ini dibintangi oleh Arfie Shah, Joey Leong, Datuk Rosyam Nor, Hariz Hamdan, Marissa Yasmin, Sadiq M. Jamil, Steve Yap​, Ardini @ Angeline Tan, Alvin Wong, dan Shweta Sekhon. Drama penuh aksi dan mendebarkan ini mengisahkan Khalif, seorang remaja yang ingin melanjutkan pelajarannya ke luar negara bersama teman wanitanya. Tetapi latar belakang keluarga Khalif, yang terlibat dalam jenayah bagi meneruskan hidup, memaksa Khalif untuk membuat pilihan antara impiannya dan tanggungjawabnya kepada keluarga. Keadaan memaksa Khalif semakin terjebak dengan jenayah, sehingga satu rahsia terbesar keluarganya terbongkar.

Sementara itu, First Wives arahan Imri Nasution, lakonan Mimi Lana, Malek Mccrone dan Andy Teh mengangkat tema women empowerment dengan kisah dua kawan baik sejak kecil. Diyana dan Michelle yang mengetahui pengkhianatan suami mereka telah bekerjasama untuk mengenakan suami masing-masing. Rancangan pertama mereka adalah merompak kedai suami mereka sendiri.

Bagi peminat Projek : High Council dan Projek : Anchor SPM, terbaru Projek : Exit, sebuah lagi hasil karya oleh showrunner dan pengarah Zulaikha Zakaria masih mempartaruhkan genre teen drama, coming of age. Kisahnya bermula apabila seorang pelajar 16 tahun yang gagal dalam cubaan membunuh diri dihantar ke sebuah asrama pemulihan akhlak. Di situ dia berkawan dengan seorang pelajar lelaki dan merancang untuk melarikan diri dari sekolah asrama tersebut. Lakonan oleh Shasha Abedul, Amierul Aiman dan Naim Daniel.

Nantikan drama-drama premium Astro Originals seperti I.D, Framed, X-Change, First Wives dan Project : Exit di Astro Premiere (Saluran 410) atau strim di platform On Demand dan Astro GO. Ikuti info dan klip-klip menarik menerusi akaun Instagram, TikTok, Facebook, X , Astro Shaw dan Astro Gempak.