BERITA
Astro Raih Dua Anugerah Berprestij di Asia-Pacific Broadcasting+ Awards 2025
Syarikat penyiaran, Astro berjaya merangkul dua anugerah berprestij di Asia-Pacific Broadcasting+ Awards 2025 yang berlangsung pada 28 Mei 2025 di Crowne Plaza Changi Airport, Singapura.
Astro berjaya memenangi dua kategori Cloud-Playout Migration – Malaysia dan “Audio Description – Malaysia menerusi Astro Studios.
Pengiktirafan ini membuktikan komitmen berterusan Astro dalam memperkasa inovasi, kebolehcapaian serta kecemerlangan dalam bidang penyiaran dan penyampaian kandungan.
Astro berjaya memenangi kategori Audio Description menerusi penggunaan inovatif Audio Description (AD) untuk penonton cacat penglihatan menerusi drama tempatan Dari Mata Turun Ke Hati.
Drama romantik komedi ini menjadi siri tempatan pertama yang menggunakan teknologi AD secara menyeluruh, sekali gus menandakan langkah besar ke arah kandungan yang lebih inklusif dan mesra OKU di Malaysia.
Dalam masa yang sama, Astro Studios terus menjadi tulang belakang kepada penghasilan kandungan kreatif Astro.
Studio ini menyediakan perkhidmatan menyeluruh untuk para pengarah, penerbit dan pencipta kandungan dengan kemudahan teknologi terkini seperti produksi maya Extended Reality (XR) yang dikuasakan oleh Unreal Engine, penyelesaian video IP untuk siaran jauh berkualiti tinggi, serta pasca-produksi audio-visual untuk filem, penyiaran dan penstriman dalam format Dolby Vision dan Dolby Atmos.
Astro turut mencipta sejarah menerusi migrasi cloud-playout, yang merupakan satu lonjakan besar dalam usaha memodenkan operasi penyiarannya. Dengan peralihan kepada sistem berasaskan awan (cloud), Astro kini memiliki keupayaan yang lebih tangkas, berskala dan tahan lasak sekaligus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam inovasi penyiaran serantau.
Asia-Pacific Broadcasting+ Awards 2025 merupakan acara yang meraikan pencapaian luar biasa dalam industri penyiaran di rantau Asia Pasifik.
Para pemenang dipilih oleh panel pakar dalam bidang media, teknologi dan komunikasi berdasarkan inovasi serta impak terhadap pengalaman penonton.
Astro merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada seluruh warga kerja yang telah memainkan peranan penting dalam pencapaian gemilang ini.
Must-Watch Video