Astro merangkul lima anugerah Putra Brand Awards 2022 menerusi tiga kategori iaitu Media & Networks, Communications Network dan e-Commerce.

Pada majlis penganugerahan yang diadakan malam tadi bagi kategori Media & Networks, Astro merangkul anugerah Platinium dengan dua lagi bagi anugerah Gold dan Silver dirangkul menerusi dua siaran radionya iaitu Hitz FM dan ERA FM.

Manakala Astro Fibre merangkul anugerah Gold bagi katergori Communications Network sementara rancangan pembelian atas talian popular 'Go Shop' pula muncul selaku penerima anugerah bagio kategori e-Commerce.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro Holdings Bhd Henry Tan, Astro akan terus memberikan komitmen dalam memastikan rakyat Malaysia akan terus dihidangkan dengan kepelbagaian kandungan siaran yang bermutu di semua platform siaranya.

“Bagi kami ia adalah sesuatu yang sangat mengujakan kerana buat kali ke-13 Astro diiktiraf selaku pemenang Platinium dan ia merupakan pengiktirafan yang amat bermakna.

“Tapi bagi tahun ini ia lebih bermakna kerana Astro berjaya merangkul anugerah dalam pelbagai kategori iaitu sebanyak lima anugerah.

“Kita berjaya memenangi dari platform televisyen, radio menerusi ERA dan juga Hitz selain kategori e-Commerce,” katanya

Jelasnya Astro turut merakamkan jutaan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang berterusan memberi sokongan dan kesetiaan terhadap semua rancangan serta kandungan di semua platform sediaanya.

Henry juga turut merakamkan jutaan terima kasih kepada lebih 4,000 tenaga pekerja Astro yang selama ini telah menyumbangkan jasa dan keringat dalam memastikan semua program dan kandungan yang dihidangkan menepati selera penonton dan juga pendengar setianya.

Malah katanya usaha itu tidak akan terhenti setakat ini sahaja bahkan akan ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memastikan segala kandungan yang disediakan sentiasa relevan dan kompetitif.

“Kita (Astro) ketika ini sentiasa memikirkan untuk menambah nilai kualiti kandungan dan apa yang lebih penting adalah untuk memberikan perkhidmatan terbaik.

“Sama ada ia menerusi kandungan audio iaitu radio atau sama ada menerusi siaran televisyen yang merangkumi kepelbagaian termasuk pendidikan mahupun dalam penyediaan perkhidmatan jalur lebar selaku pilihan terbaik,” katanya lagi.

Seramai 151 anugerah keseluruhan diberikan pada edisi ke-13 yang dianjurkan termasuk empat anugerah khas dalam 24 kategori kepada jenama kegemaran rakyat Malaysia.

Pengerusi Anugerah Putra Brand Awards, Datuk Johny Mun berkata, anugerah berkenaan adalah bagi menggalakkan syarikat melabur dalam jenama sendiri sekali gus mengekalkan mereka di dalam minda pengguna, di samping memenuhi kehendak industri.

AWANI