Gaya Hidup

Awas! Ambil Langkah Keselamatan Ini Jika Beriadah Di Kawasan Sungai

gempak
Gempak
20/09/2024
09:55 MYT
Sponsor Banner
Awas! Ambil Langkah Keselamatan Ini Jika Beriadah Di Kawasan Sungai
Memandangkan cuti sekolah masih berbaki beberapa hari, mungkin ada dalam kalangan ibu bapa yang berfikiran untuk membawa anak-anak beriadah atau bercuti.
Lebih-lebih lagi yang tak memerlukan mereka keluarkan kos di tengah bulan sebegini seperti mandi sungai atau berkhemah.
Namun, dalam membuat perancangan, pelbagai aspek perlu diberi perhatian memandangkan kebelakangan ini cuaca agak tidak menentu. Ini bagi mengelakkan berlakunya sesuatu tidak diingini berlaku bak kata peribahasa, malang tak berbau.
Ini berikutan tular kejadian kepala air di Kolam Puteri Gunung Ledang, Tangkak. Tidak habis dengan itu, ada pula amaran air pasang, ribut dan banjir di sesetengah tempat di negeri lain
Oleh itu, bagi yang merancang untuk melakukan aktiviti seperti berkhemah atau mandi sungai perlu membuat beberapa persediaan terutamanya dari segi keselamatan seperti yang dikongsikan oleh Dr Kamarul Ariffin di laman Facebooknya. Semoga bermanfaat untuk anda semua!
Jom kita baca sikit beberapa tip persediaan dan keselamatan berkenaan berkhemah, terutamanya di kawasan berhampiran sungai.
#1 Sediakan peralatan keselamatan
Bawa tali, pelampung, jaket keselamatan serta kit pertolongan cemas. Alat-alat ini boleh jadi penyelamat nyawa jika berlaku sesuatu yang tak diingini. Bersedia hubungi 999 jika berlaku kecemasan.
#2 Pakai wisel dan pakaian terang
Pakai kalung berwisel. Dalam keadaan kecemasan, bunyi wisel boleh menarik perhatian orang lain dengan cepat. Elok juga pakai pakaian berwarna terang untuk mudahkan pencarian.
#3 Tanya orang tempatan
Sebaik saja tiba, cuba bersembang dengan penduduk setempat atau penjaga kawasan. Mereka mungkin tahu tentang bahagian sungai yang berbahaya atau pernah berlaku kejadian kepala air.
#4 Jangan pasang khemah terlalu dekat sungai
Spot paling healing adalah di gigi air sebab bunyi air mengalir menenangkan, tapi elakkan memasang kemah terlalu hampir dengan sungai. Paras air boleh naik bila-bila masa, terutama jika hujan.
#5 Periksa tanda-tanda air naik
Sebelum mandi, perhatikan tebing sungai. Kalau nampak kesan daun atau ranting yang tersangkut tinggi, itu mungkin tanda paras air boleh naik mendadak. Lebih baik berjaga-jaga.
#6 Periksa kedalaman dan dasar sungai
Jangan terus terjun! Pastikan anda tahu kedalaman air dan periksa kalau ada batu tajam, licin atau lumut yang boleh menyebabkan tergelincir. Pakai kasut anti-licin untuk aktiviti air kalau ada.
#7 Kenal pasti laluan keluar
Sebelum masuk air, tengok sekeliling dulu. Cari laluan yang mudah untuk naik semula ke kawasan darat yang selamat jika perlu. Beritahu keluarga. Ini penting untuk keselamatan anda dan keluarga.
#8 Pilih kawasan terbuka
Jangan bersendirian. Mandi di tempat yang lapang dan mudah dilihat dari pelbagai arah. Pastikan anak sentiasa dalam pengawasan. Elakkan kawasan yang banyak selekoh kerana arusnya sukar dijangka.
#9 Menghadap aliran air
Semasa berada di dalam air, pastikan anda lebih banyak menghadap ke arah aliran datang. Senang nak nampak kalau ada objek terapung seperti kayu atau sampah yang boleh membahayakan.
#10 Pantau perubahan cuaca
Sentiasa cakna keadaan cuaca. Jika air tiba-tiba keruh atau banyak daun dan ranting dibawa arus, itu mungkin tanda hujan di hulu sungai. Segera untuk berpindah ke tempat yang lebih selamat.
Dengan mengambil langkah berjaga-jaga ini, anda boleh menikmati keindahan sungai dengan lebih tenang. Ingat, keselamatan adalah keutamaan.
Selamat berkhemah dan berseronok!
Sumber - Sinar Plus
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024