Berita
"Azam Tahun Lepas Dapat Tunai Tahun Ini" - Wany Hasrita Bawa Ibu Tunai Umrah
Penyanyi Wany Hasrita berangkat ke Tanah Suci Makkah bersama ahli keluarganya bagi mengerjakan ibadah umrah hari ini.
Wany atau nama sebenarnya, Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 28, berkongsi hal tersebut menerusi satu entri yang dimuat naik di Instagram miliknya.
"Assalamualaikum, pagi semua! Insya-Allah saya, ibu dan keluarga akan berangkat mengerjakan umrah hari ini. Minta maaf salah silap Wany ya!," tulisnya.
Dalam entri tersebut, Wany turut memuat naik gambar dirinya bersama ibu, Norita Jaafar, 49 yang lengkap berpakaian serba putih.
Kata Wany lagi, dia benar-benar berasa gembira apabila hajatnya untuk menjejakkan kaki ke tanah suci bersama ahli keluarganya termakbul pada tahun ini.
"Tak tahu nak gambarkan rasa dalam hati, azam tahun lepas dapat tunaikan tahun ni. Alhamdulillah, Allah sebaik perancang. Doakan perjalanan kami selamat pergi balik ya," luahnya.
Perkongsian Wany itu kemudian menerima pelbagai respons dalam kalangan pengikutnya.
Rata-rata mendoakan agar segala urusannya di sana dipermudahkan.
Sebelum ini, pelantun lagu Menahan Rindu itu berpeluang mengerjakan ibadah haji pada Ogos lalu selepas menerima undangan khas daripada kerajaan Arab Saudi.
Bagaimanapun, Wany meluahkan rasa sedihnya apabila dia tidak dapat membawa ibunya bersama-sama pada musim haji yang lepas.
Must-Watch Video