Laman Utama
Azlan Typewriter Patah Tulang Kaki & Buku Lali Ketika Mendaki – “Saya Nampak Kaki Dah Terkulai…”
Penyanyi Azlan patah kaki kiri dan buku lali ketika mendaki di Sungai Batangsi, Semenyih, Selangor, Isnin lalu.
Azlan ketika dihubungi Gempak berkata, dia tergelincir ketika hendak menuruni cerun menuju ke sebatang sungai.
Menurut Azlan keadaan tanah ketika itu licin dan ketika jatuh, kakinya terhentak pada seketul batu.
“Saya pergi mendaki kira-kira jam 9 pagi dan masa nak turun tu kami nampak sungai tu. Kawasannya sangat cantik.
“Masa tu dah tengah hari dan masa nak turun tu saya tergelincir sebab tanah licin dan tergolek ke bawah cerun.
“Yang saya ingat kaki saya terhentak pada batu dan saya dengar bunyi tulang patah. Masa tu dalam hati dah jangka, lagi-lagi bila saya nampak kaki dah terkulai,” katanya.
Tambah Azlan lagi, dia bersyukur kerana tidak berseorangan dan dibantu rakan-rakan untuk naik semula ke atas.
“Nasib baik ada kawan-kawan. Mereka bantu saya naik dalam keadaan kaki dah terkulai. Kami terus ke Hospital Kajang meneruskan rawatan.
“Doktor kata bahagian buku lali dan tulang di belakang kaki kiri patah dan perlu menjalani pembedahan.
“Tetapi dia turut memberi pilihan untuk tidak melakukan prosedur tersebut kerana tulang akan bercantum sendiri.
“Apapun saya anggap ini sebagai dugaan. Benda dah nak jadi kan. Cuma sekarang ini saya akan berehat dan fokus untuk kesembuhan kaki.
“Fasal kerja, saya akan teruskan juga mana-mana yang sudah saya persetujui sebelum ini,” katanya.
Dalam pada itu, Azlan turut menasihati kaki ‘hiking’ supaya berhati-hati jika hendak mendaki pada musim hujan ini.
“Hati-hati pergi mendaki pada musim sekarang ni, malang tidak berbau. Tapi, kalau boleh…tak payahlah,” pesannya.
Must-Watch Video