Menyaksikan suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini, masing-masing dilihat teruja untuk pulang ke kampung halaman bagi merayakan lebaran dengan orang tercinta.

Hal ini boleh disaksikan menerusi keadaan jalan raya dipenuhi kenderaan, baik yang menuju ke utara mahupun selatan tanah air.

Begitupun, kebebasan yang diberikan oleh pihak kerajaan dalam membenarkan rakyat pulang berhari raya tidak diambil mudah oleh penyanyi Azlan The Typewriter.

Menurut Azlan, dia masih berjaga-jaga meskipun banyak kelonggaran yang telah diubah dalam prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 di negara kita.

“Persiapan dan sambutan raya memang sederhana, sama seperti tahun sebelum ni… tidak lebih. Makanan pun dibeli sekadar untuk cukup kami sekeluarga sebab bimbang pembaziran.

“Berkenaan open house pula, saya tak galakkan. Cukup beraya dengan ibu bapa kita. Itu pun saya saya bersyukur.

“Kalau buat open house nanti dengan jiran datang bawak kawan… keadaan akan jadi tidak terkawal,” katanya kepada Gempak.

Azlan memberitahu, aktiviti hari rayanya hanyalah menziarahi rumah saudara mara terdekat sahaja.

“Saya sendiri pun beraya di rumah keluarga terdekat sahaja. Bila kita diberi kebebasan oleh kerajaan, janganlah berlebihan pula,” katanya lagi.

Untuk rekod, bapa Azlan, bapa Azlan, allahyarham Sallehudin Che Ani meninggal dunia akibat COVID-19 pada April tahun lalu.