Pelakon Azri Iskandar menegaskan wanita yang bakal menjadi suri hidupnya nanti, Dr Azra Diera, bukan saja memiliki kelulusan akademik doktor falsafah (PhD) malah punya pangkat sebagai Datuk Seri.

BACA: Masa Untuk Self Love, Ellie Suriaty Enggan Rujuk Azri: "Kahwinlah Lepas Edah Saya 101 Hari"

Azri tampil berkata demikian gara-gara timbul pelbagai andaian dan dakwaan segelintir pihak mengenai latar belakang wanita yang masih tertanya-tanya identitinya itu.

"Nama dia Datuk Seri Dr Azra Diera. Saya pada awal tak tahu pun tapi Azra secara tak sengaja mengirim mesej perbualan daripada makciknya kepada saya.

"Dia pada ketika tu ingin menunjukkan mesej bahawa makciknya menasihatkan dia supaya tampil ke depan bagi membersihkan imejnya kerana terlalu banyak cerita tak enak berkaitan dirinya.

"Selepas diselidik, rupa-rupanya dia memiliki pangkat Datuk Seri itu kerana banyak melakukan tugas-tugas kebajikan pada masyarakat," katanya memetik laporan MalaysiaKini.

Tambah pelakon filem Mat Bond Malaya itu, atas nasihat kedua ibu dan bapa Azra, wajah dan identiti wanita itu hanya akan boleh dikongsikan sebaik sah mereka berkahwin.

"Azra seorang yang merendah diri, dengan saya sendiri pun dia tak mahu beritahu mengenai gelaran tu.

"Dia cakap jika pergi ke pejabatnya nanti pekerja-pekerja akan menggelarnya Datuk hanya untuk urusan perniagaan.

"Tapi saya pun fikir, takkanlah dia nak tipu pekerja-pekerjanya dan bila berada di pejabatnya, saya nampak pingat itu ada diletakkan atas meja," dakwanya.

Azri pada 23 Jun lalu mendedahkan bakal menghantar rombongan merisik seorang wanita yang memiliki doktor falsafah (PHD) dalam bidang muzik dan juga penulis skrip.

Kenyataan itu mengundang perhatian umum kerana pendedahan dibuat tidak sampai sebulan dari tarikh perceraiannya dengan bekas isteri, Ellie Suriati Omar pada 17 Mei lalu.

Hasil perkongsian hidup selama 19 tahun, Azri dan Ellie dikurniakan dua anak, iaitu Azrell Omar, 18 dan Nur Azreen, 13.

Sebelum menikahi Ellie, Azri mempunyai tiga anak iaitu Muhammad Afiq Iskandar, 31, Farah Qistana, 29, dan Nur Anis Mastura, 27, melalui perkahwinan pertama.

Mengulas perancangannya untuk menamatkan status duda dengan wanita itu, Asri berkata dia sudah bertemu kedua ibu dan bapa Azra di Perlis pada 24 Jun lalu.

Sumber: MalaysiaKini