Sekilas
- Datuk Remy Ishak berasa bangga membintangi Takluk 2: OP Daulat kerana filem itu berkait rapat dengan sejarah keluarganya yang mempunyai latar tentera.
- Watak anggota tentera yang dibawanya memberi makna istimewa kerana arwah bapanya pernah berkhidmat di Bosnia-Herzegovina dan Somalia, manakala adiknya juga seorang tentera yang terlibat dalam Op Daulat.
- Filem Takluk 2: OP Daulat yang diinspirasikan daripada Operasi Daulat 2013 sudah ditayangkan di pawagam seluruh negara sejak 26 November lalu.
Pelakon Datuk Remy Ishak berbangga dapat membintangi Takluk 2: OP Daulat kerana filem itu dekat dengan sejarah keluarganya.
Remy berkata, tawaran membawakan watak anggota tentera dalam sekuel itu cukup bermakna kerana arwah bapanya pernah berhasrat melihat dia menceburi bidang berkenaan.
“Arwah ayah saya berkhidmat di Bosnia-Herzegovina dan Somalia. Adik saya adalah seorang tentera yang juga bertugas semasa Op Daulat.
“Walaupun bapa saya nak saya jadi askar tak dapat, jadi pelakon sebagai askar bolehlah,” selorohnya.
Menurut Remy, menjayakan watak itu menjadi kenangan manis kerana dia berpeluang merakamkan peristiwa bersejarah yang turut melibatkan ahli keluarganya.
“Pada masa akan datang, anak-anak muda, anak-anak kecil akan tengok sebagai satu filem sejarah.
“Saya rasa berbangga dapat terlibat, saya mewakili keluarga saya sebagai keluarga askar, dan juga saya dapat merakamkan perkara sejarah ini untuk tontonan masa akan datang,” katanya.
Remy turut merakamkan penghargaan kepada pihak produksi atas peluang yang diberikan dan berharap filem itu mendapat tempat di hati penonton Malaysia.
Takluk 2: OP Daulat merupakan kesinambungan Takluk: Lahad Datu (2024).
Filem yang diinspirasikan daripada Operasi Daulat pada 2013 itu sudah ditayangkan di pawagam seluruh negara sejak 26 November lalu.