Sekilas
- Gabriel Augusto Félix, pempengaruh Brazil berusia 29 tahun, meninggal dunia secara tiba-tiba ketika bermain bola sepak di Campinas, São Paulo pada 19 November.
- Gabriel terkenal dengan kandungan estetik vintaj bersama tunang dan anak perempuannya, serta mempunyai 1.5 juta pengikut di media sosial.
- Punca kematian masih belum diumumkan secara rasmi, dan tunangnya meminta orang ramai tidak mempercayai maklumat yang tidak sahih.
Pempengaruh popular dari Brazil, Gabriel Augusto Félix meninggal dunia secara tiba-tiba pada usia 29 tahun ketika bermain bola sepak bersama rakan-rakannya di Campinas, São Paulo pada malam 19 November lalu.
Memetik laporan Wolipop, Gabriel dilaporkan mengalami kecemasan perubatan ketika melakukan aktiviti tersebut.
Pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian sempat memberikan bantuan, namun nyawanya gagal diselamatkan.
Lebih menyayat hati, pada hari kejadian, Gabriel masih sempat memuat naik video bersama anak perempuannya, Amelie yang baru berusia tiga tahun.
Berita pemergiannya dimaklumkan oleh tunangnya, Isabelle Abreu menerusi perkongsian di Instagram pada keesokan harinya.
“Cinta kita akan kekal abadi, begitu juga legasi yang kamu tinggalkan,” tulis Isabelle (terjemahan).
Memiliki sekitar 1.5 juta pengikut di media sosial, Gabriel dikenali menerusi kandungan berkonsepkan estetik vintaj yang menampilkan kehidupan seharian bersama tunang dan anak perempuan mereka.
Kisah cinta pasangan itu bermula ketika pandemik COVID-19 sebelum mereka bertemu secara bersemuka buat kali pertama pada 2021 dan kemudiannya berpindah bersama ke São Paulo.
Gabriel melamar Isabelle ketika mereka bercuti di Dolomites, Itali pada Julai 2025.
Bagaimanapun, sehingga kini punca sebenar kematian Gabriel masih belum diumumkan secara rasmi.
Agensinya, Play9 memaklumkan keadaan kesihatan Gabriel merosot secara tiba-tiba ketika bermain bola sepak sehingga memerlukan bantuan perubatan.
Isabelle turut meminta orang ramai agar tidak mempercayai sebarang maklumat mengenai punca kematian tunangnya yang tidak datang daripada dirinya atau pihak agensi.
Sumber: Wolipop