Laman Utama
“Baca Skrip, Belum Apa-Apa Dah Ada Babak Atas Katil, So Bye!” – Diminta Adegan Ranjang, Zahiril Adzim Tolak Casting Hollywood
Pelakon Zahiril Adzim akui tidak kecewa menolak tawaran berlakon dengan produksi Hollywood yang menuntutnya untuk melakonkan adegan ranjang kerana melanggar prinsipnya sebagai seorang beragama Islam.
Tidak berfikir panjang, Zahiril berkata dia tidak teragak-agak dan terus menolak tawaran tersebut sebaik sahaja membaca skrip.
“Saya pernah tolak tawaran casting dengan produksi Hollywood beberapa tahun lepas, sudah lupa judulnya tetapi saya tolak.
“Saya baca skrip itu, belum apa-apa sudah ada babak atas katil jadi saya terus ucap selamat tinggal. Skrip itu menuntut saya dan pelakon wanita itu berbogel separuh badan. Tidak, tak boleh. Saya tidak mahu lakukannya,” katanya ketika ditemui Gempak selepas tayangan filem Ada Hantu 2 pada Selasa.
Jelas Zahiril lagi, walaupun mempunyai keinginan untuk melebarkan sayap ke pentas antarabangsa namun dia tidak akan sesekali melupakan hukum agama.
“Saya bukanlah mengejar sangat Hollywood tapi kalau diberi peluang, siapa yang tidak mahu. Tetapi kalau terpaksa melanggar (hukum) seperti itu, saya rela tolak.
“Memang sepatutnya seorang pelakon ini kena buat apa sahaja untuk karakter tetapi bergantung pada pelakon. Saya ada pendirian, prinsip saya sendiri dan tidak akan sesekali saya ketepikan perkara tersebut,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Zahiril bakal muncul dengan filem arahan Hairul Azreen berjudul Ada Hantu 2 yang akan ditayangkan ke pawagam seluruh negara bermula 15 September ini.
Selain Zahiril, Ada Hantu 2 turut dibintangi oleh Hairul Azreen, Shiqin Kamal, Nafiez Zaidi, Elvina Chua dan Rubini Sambanthan.
Must-Watch Video