Sekilas
- Rapper Korea Selatan Yang Hong-won dan isterinya, Won Hyun-joo, sepakat bercerai hanya sebulan selepas majlis perkahwinan mereka.
- Hyun-joo mengumumkan berita perceraian itu di media sosial dan memohon agar orang ramai menghormati privasi mereka mengenai masalah rumah tangga.
- Pasangan ini telah bersama sejak 2017, berkahwin secara rasmi pada 2023, dan dikurniakan seorang anak perempuan sebelum kontroversi dakwaan curang terhadap Hong-won muncul.
Rapper Korea Selatan, Yang Hong-won dan isterinya, Won Hyun-joo, sepakat bercerai hanya sekitar sebulan selepas mengadakan majlis perkahwinan.
Berita perpisahan itu diumumkan Hyun-joo menerusi satu hantaran di media sosial baru-baru ini. Pada perkongsian sama, dia juga memaklumkan proses perceraian mereka kini hampir selesai, lapor Chosundaily.
Menurut Hyun-joo, keputusan berkenaan sepakat diambil selepas mereka melalui perjalanan cinta yang panjang selama bertahun-tahun.
“Saya ingin menyampaikan perkara ini dengan berhati-hati kepada mereka yang mengambil berat tentang saya dan bertanyakan keadaan saya.
“Buat masa ini, kami telah mencapai persetujuan secara baik dan proses perceraian hampir selesai,” katanya
Hyun-joo turut memohon agar orang ramai memahami keputusannya untuk tidak mendedahkan secara terperinci mengenai masalah rumah tangga yang dihadapi.
“Memandangkan ini merupakan perkara peribadi, saya berharap kalian dapat memahami sukar untuk saya menceritakan segala perinciannya.
“Selepas ini, saya akan terus menjalani kehidupan seperti biasa dan sesekali berkongsi perkembangan diri,” katanya.
Dia turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang selama ini memberikan perhatian serta mengambil berat mengenai keadaannya.
Hong-won dan Hyun-joo dilaporkan mula menjalin hubungan sekitar 2017. Selepas bercinta selama kira-kira enam tahun, pasangan itu mendaftarkan perkahwinan mereka secara rasmi pada 2023.
Kehidupan rumah tangga mereka kemudian diserikan dengan kelahiran seorang anak perempuan pada November 2024.
Malah, kedua-duanya turut berkongsi rutin sebagai ibu bapa menerusi saluran YouTube berjudul Yang Hong-won's Parenting Diary.
Walaupun sudah bergelar suami isteri sejak 2023, pasangan itu hanya mengadakan majlis perkahwinan pada 18 Oktober 2026 sebagai meraikan perjalanan cinta mereka yang panjang.
Bagaimanapun, kebahagiaan pasangan itu tidak bertahan lama apabila Hong-won didakwa curang hanya lima hari selepas majlis perkahwinan mereka.
Kontroversi tersebut bagaimanapun dinafikan agensi Hong-won, AP Alchemy dengan menegaskan bahan yang disebarkan oleh individu yang membuat tuduhan telah disunting secara tidak bertanggungjawab.
Bagaimanapun, AP Alchemy mengakui Hong-won memang pernah pergi ke sebuah motel bersama seorang wanita, namun menegaskan tiada hubungan romantis berlaku antara mereka.