Bintang Gegar Vaganza (GV) 7, Rozita Izlyn menolak andaian sesetengah pihak mengenai badi menyanyikan lagu sendiri di pentas realiti tersebut.

Rozita ketika dihubungi Gempak berkata, badi penyingkiran yang digembar-gemburkan sesetengah pihak itu mungkin berlaku secara kebetulan.

Menurut Rozita, penyanyi Wann yang juga bintang GV6 juga pernah menyanyikan lagu sendiri tetapi tetap mara sehingga ke peringkat separuh akhir.

“Bukan saya sahaja peserta yang menyanyikan lagu sendiri dalam GV. Sebelum ni pun ramai artis lain dapat lagu sendiri.

Contohnya macam Siti Nurdiana dan Dia Fadila juga menyanyikan lagu mereka sendiri ketika minggu duet dan mereka lepas sehigga ke peringkat akhir.

“Wann pun masa menyanyikan lagu sendiri juga lepas sehingga ke peringkat separuh akhir. Jadi, saya hanya fikir nak buat yang terbaik.

“Tak ada terfikir tentang badi tersingkir atau tak…Terserah pada rezeki yang Allah SWT nak bagi,” katanya positif.

Mengulas mengenai persembahannya pada minggu ini, berduet dengan penyanyi Ezad Lazim menyanyikan lagu Mengapa Sukar Melafazkan Maaf, Rozita berkata tugasan tersebut agak mencabar.

“Ramai orang kata advantage kalau nyanyi lagu sendiri. Sebenarnya itulah cabaran dalam GV. Saya akan menyanyikan lagu ini dengan pasangan yang berbeza.

“Dahulu pasangan saya Aju Success, sekarang ini Aju juga pencabar saya dalam GV. Persiapan saya sama seperti bintang lain cuma kena banyak perbincangan dan percubaan.

“Tapi saya tak risau sebab Ezad Lazim semua orang tahu memilik vokal yang sangat-sangat baik,” katanya.

Tinggal 10 bintang bakal meneruskan perjalanan di minggu keenam GV7 bertemakan 'Double Special' iaitu berduet dengan rakan artis.

Dihoskan oleh Jihan Muse dan Nabil Ahmad, GV7 bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama 10 minggu pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam.

GV7 turut menampilkan Datuk Ramli MS dan mengembalikan Datuk Khatijah Ibrahim sebagai juri tetap dan akan dibantu juri jemputan setiap minggu.

Teruskan menonton GV7 yang dibawakan sekali lagi oleh Farm Fresh selaku Penaja Utama, disokong Adabi dan CUCKOO Healthy Home sebagai Penaja Bersama selain Digi selaku Telco Rasmi.

Rangkaian program GV7 akan mula bersiaran secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (124) dan Astro Ria HD (104) serta turut boleh diakses menerusi portal Gempak dan aplikasi Astro Go untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Klip sedutan sesi latihan vokal, persediaan dan trivia para peserta dapat ditonton melalui liputan kapsul ‘Kapsul Gegar Vaganza’.

Untuk lima episod pertama, ‘Kapsul Gegar Vaganza’ akan disiarkan pada hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.30 petang.

Untuk pengisian di platform digital, program ‘Gegar Vaganza Live Plus’ akan disiarkan secara serentak di www.gempak.com/gegarvaganza ketika berlangsungnya konsert mingguan ‘GV7’ bermula 11 Oktober 2020.