Sekilas
- Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq, berkongsi cabaran membahagikan masa antara persiapan majlis perkahwinan dan latihan untuk acara Ironman.
- Dia biasanya berlatih awal pagi hujung minggu, tetapi perlu mencari masa lain seperti waktu malam apabila ada majlis perkahwinan.
- Syed Saddiq menekankan pentingnya mengekalkan kecergasan selepas berkahwin untuk memberi inspirasi kepada isteri dan anak-anak mengamalkan gaya hidup sihat.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkongsi cabaran membahagikan masa antara persiapan majlis perkahwinan bersama Bella Astillah dan rutin latihan menjelang acara Ironman baru-baru ini.
Syed Saddiq berkata, dia biasanya memperuntukkan awal pagi Sabtu dan Ahad untuk sesi latihan yang lebih panjang.
Bagaimanapun, majlis yang berlangsung setiap hujung minggu sepanjang tempoh itu membuatkannya perlu mencari waktu lain untuk berlatih.
“Sebab sebulan kita buat majlis perkahwinan. Setiap hujung minggu ada, rancangan pun masa hari bekerja. Selalu saya akan buat latihan yang agak panjang pada hari Sabtu dan Ahad pagi, awal pagi.
“Jadi bila ada majlis, agak sukarlah. Cuma itu bukan alasan, kita cuba cari masa lainlah walaupun pada waktu malam,” katanya ketika ditemui pada acara Cuura di Open House, Kuala Lumpur, pada Khamis.
Ditanya mengenai kecergasannya selepas berkahwin, Syed Saddiq berkata menjaga kecergasan kini lebih penting baginya kerana dia mahu menggalakkan isteri dan anak-anak turut mengamalkan gaya hidup sihat.
“Sepatutnya bila bujang dan bila dah kahwin ni, dia perlu kekalkan kecergasan badan supaya dapat menginspirasikan anak-anak dan isteri untuk turut mengamalkan gaya hidup yang sihat.
“Dia tak boleh hanya jaga badan sebelum kahwin dan selepas kahwin kita lupakan terus, tak boleh,” ujarnya.
Sebelum ini, isterinya yang juga penyanyi, Bella Astillah meluahkan rasa sebak selepas melihat perjuangan suaminya, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq dalam menamatkan cabaran Ironman Malaysia.