Umum mengetahui pasangan selebriti Harris Alif dan Intan Ladyana mendirikan rumah tangga 5 Februari lalu.

Sedang diulit kebahagiaan bergelar suami, Harris, 22, tidak mengambil masa lama untuk tampil dengan lagu terbaru berjudul Permaisuri.

Mendengar pada tajuknya sahaja sudah dapat digambarkan ia dihadiahkan khas buat isteri tercinta, pelakon Intan Ladyana, 39.

“Sebagaimana judulnya, lagu ini semestinya menceritakan mengenai seorang permaisuri yang bertakhta di hati saya.

"Lagu ini cukup bermakna buat saya apalagi kini sudah menemui sendiri permaisuri hati.

"Ya, saya akui lagu ini adalah terjemahan dedikasi cinta saya terhadap isteri," kata Harris.

Tambah Harris, lagu ciptaan Archie Nasution itu dinyanyikan dengan penuh penghayatan olehnya.

“Sejak dari awal lagi, saya sudah beritahu komposer iaitu Archie bahawa lagu Permaisuri ini memang untuk diciptakan khas buat permaisuri hati saya (Intan Ladyana).

"Perasaan itu hadir seiring dengan emosi yang mengalir dalam diri sekali gus sangat membantu penghayatan jadi lebih berkesan,” katanya.

Menariknya lagu sebegini mungkin bakal menjadi pilihan ramai sebagai lagu perkahwinan khasnya.

Harris tidak menolak jika suatu hari nanti, Permaisuri menjadi lagu pilihan pasangan bercinta yang ingin melangkah ke alam perkahwinan.

“Secara keseluruhan, lagu ini sesuai untuk pasangan terutama buat si lelaki dedikasikan kepada pasangannya.

"Ia tidak mengenal status, baik pasangan itu baharu bercinta mahupun yang sudah berkahwin.

"Yang penting, setiap pasangan itu disulami rasa cinta paling dalam menerusi hubungan masing-masing,” katanya.

Difahamkan, Harris dan Archie dan Archie hanya mengambil masa lima bulan untuk menyiapkan lagu ini.

Permaisuri boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & Youtube Music.