Debaran filem aksi komedi terhebat Polis Evo 3 kian terasa memandangkan beberapa hari sahaja lagi bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 25 Mei ini.

Jom kita semak semula filem yang menampilkan duo hebat dan mengangkat tema Polis;

  1. Polis Evo

Polis Evo bermula dengan arahan pengarah Ghaz Abu Bakar dan lakon layar oleh Joel Soh, Kyle Goonting, Anwari Ashraf dan Adib Zaini.

Menampilkan duo hebat iaitu aktor Shahiezy Sam dan Zizan Razak selain itu dibarisi pelakon antaranya Nora Danish, Hushairi Husain, Mimi Ernida, Harun Salim Bachik, Wan Hanafi Su, Pablo Amirul, Azliyuszaini dan Amerul Affendi.

Filem ini merupakan filem pertama dalam siri filem Polis Evo mengisahkan dua anggota polis berpangkat inspektor iaitu Inspektor Khai (Shahiezy Sam) dan Inspektor Sani (Zizan Razak) yang mempunyai perwatakan yang sangat berlainan tetapi mereka harus bekerjasama untuk menumpaskan sindiket operasi pengedaran dadah.

Filem ini mula ditayangkan di pawagam pada 17 September 2015 dan elah memenangi tiga daripada sepuluh pencalonan di Festival Filem Malaysia ke-28.

Sehingga 2019, filem ini berada di tempat yang ke-7 didalam senarai filem tempatan dengan kutipan tertinggi. Kesinambungan filem ini, Polis Evo 2 pula ditayangkan pada 22 November 2018.

Joel Soh dan Andre Chiew berkhidmat sebagai pengarah, menggantikan Ghaz. Zizan dan Sam masing-masing kekal sebagai teraju utama dengan penambahan pelakon baru termasuk Erra Fazira, Hairul Azreen dan pelakon Indonesia Raline Shah.

  1. Sangkar

Sangkar merupakan sebuah filem drama aksi Malaysia 2019 yang diarahkan oleh pengarah Kabir Bhatia serta dibintangi dua pelakon hebat iaitu Remy Ishak dan Zul Ariffin.

Filem yang turut menampilan aktres Mira Filzah itu mengisahkan permusuhan dan penebusan antara dua orang atlet MMA tempatan, serta perjuangan mereka demi maruah dan keluarga masing-masing.

Filem terbitan Astro Shaw dan Primeworks Studios ialah filem MMA pertama di Malaysia. Ia ditayangkan pada 29 Ogos 2019 di Malaysia, Singapura dan Brunei.

  1. KL Special Force

KL Special Force merupakan sebuah filem aksi Malaysia 2018 arahan Syafiq Yusof terbitan bersama Skop Productions, Damofa Productions dan Viper Studios.

Dibintangi oleh Datuk Rosyam Nor, Fattah Amin, dan Syamsul Yusof, mengisahkan sekumpulan unit khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dikenali sebagai KL Special Force berusaha untuk menumpaskan kumpulan perompak dikenali sebagai Geng Anarkis yang merompak bank Damofa.

Penggambaran dijalankan pada Julai 2016 di Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga September 2016. Filem ini ditayangkan pada 8 Mac 2018, menerima ulasan positif daripada pengkritik filem dan meraih kutipan sebanyak RM12.1 juta dalam masa 4 minggu tayangan.

  1. Romeo Kota

Romeo Kota: Kes Fail Kriptik merupakan filem aksi komedi Malaysia 2015 arahan sulong Datuk Aaron Aziz. Filem ini menggandingkan pelawak popular, Nabil Ahmad bersama dengan pengarah filem ini sendiri, Aaron Aziz sebagai pelakon utama.

Selain itu, ia turut dibintangi oleh Sofi Jikan, Ahmad Idham, Dwi Ariana, Hanis Zalikha, Nina Juren, Shenty Fazliana, Fizo Omar dan Wan Sharmila. Filem ini telah ditayangkan kepada umum pada 8 Januari 2015.

  1. Gerak Khas The Movie

Gerak Khas The Movie merupakan filem aksi kepolisan Malaysia 2001 berdasarkan daripada drama yang mengangkat genre polis, Gerak Khas. Ia diterbitkan, ditulis dan diarahkan oleh Datuk Yusof Haslam terbitan Skop Productions.

Dibintangi oleh Datuk AC Mizal, Abby Abadi, Erra Fazira, Datuk Rosyam Nor dan Norman Hakim, filem ini mengisahkan mengenai Unit Gerak Khas yang ditugaskan untuk menumpaskan satu sindiket yang terlibat dalam kegiatan pengedaran VCD lucah dan pil ecstacy yang diketuai oleh Castelo (Rosyam Nor).

Filem ini telah ditayangkan kepada umum pada 1 Mac 2001. Dua filem susulannya telah diterbitkan, iaitu Gerak Khas The Movie ll (2022) dan GK3 The Movie (2005).