Sosialit jelita yang merangkul gelaran Mrs. Malaysia Universe 2019, Sophia Mohd Noor bakal mewakili Malaysia di pertandingan Mrs. Universe 2019 yang akan diadakan di Guangzhou, China pada 22 Disember ini.

Ketika dihubungi secara eksklusif oleh Gempak, Sophia menjelaskan penyertaannya dalam bidang ratu cantik adalah untuk meluaskan lagi aktiviti amal yang telah dilakukannya selama ini.

"Sebelum ini, saya aktif melakukan aktiviti amal, namun ia berskala kecil sahaja, saya harap agar penyertaan saya dalam Mrs. Universe 2019 ini akan menjadi platform untuk saya meluaskan lagi aktiviti amal yang telah dilakukan, Insya-Allah.

"Saya mahu membina nama agar saya dapat membuka satu badan amal dalam mengenang pemergian Allahyarham bapa saya.

Saya percaya, jika saya mahu menyuarakan hal-hal memperkasakan wanita, saya harus memperkasakan diri sendiri dahulu, kemudian, barulah saya boleh memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa tentang isu yang membabitkan keganasan domestik dan perlindungan kanak-kanak," jelasnya.



Tambah Sophia, dia sangat berbangga untuk mewakili nama Malaysia di persada dunia.

"Saya sangat berbangga untuk membawa nama Malaysia di China, saya sangat teruja untuk menunjukkan betapa indahnya Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum dan hidup dalam suasana harmoni," katanya.

Sophia juga bakal menggunakan sepenuhnya khidmat pereka dan jurusolek tempatan ketika penyertaannya di acara berprestij itu.

"Oleh kerana saya amat berbangga dengan negara sendiri, saya akan menggunakan sepenuhnya khidmat pereka fesyen, jurusolek, penggaya rambut dan pereka barang kemas dari Malaysia ketika menyertai Mrs. Universe 2019 nanti," tuturnya menutup bicara.


Sophia ketika dinobatkan sebagai Mrs. Malaysia Universe Malaysia di Sheraton Hotel, Petaling Jaya pada Oktober

Sedikit info, Sophia, 40, merupakan ibu kepada seorang anak. Wanita yang mencetuskan ispirasi ini berasal dari Kota Kinabalu, Sabah dan kini menetap di Kuala Lumpur.

Syabas dan selamat berjaya diucapkan kepada Sophia Mohd Noor!