Selangor Modest Fashion tampil penuh bergaya untuk merancakkan industri fesyen tanahair dan serantau khususnya yang berkaitan dengan busana santun.

Fesyen busana santun membawa maksud busana penuh sopan yang tidak mendedahkan dan menampakkan susuk tubuh. Walaubagaimanapun, busana santun tidak boleh dikelirukan dengan fesyen islamik.

Acara Gala bagi Selangor Modest Fashion telah berlangsung dengan meriah di Four Seasons Hotel, Kuala Lumpur malam tadi.

Selangor Modest Fashion menjunjung kasih dan berbesar hati atas inisiatif Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj yang berkenan menyokong hasrat memupuk bakat pengkarya fesyen negeri Selangor bersama dengan YAB Tuan Amirudin Shari, Datuk Menteri Besar Selangor, dan YBhg Datuk Hasan Azhari Haji Idris selaku Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor.



Acara malam tadi juga bermatlamat untuk menjalin hubungan dengan kerabat Diraja dalam dan luar negara, sosialit, tokoh-tokoh korporat, selebriti, influencer gaya hidup dan pemain-pemain industri agar mereka dapat turut sama membantu usaha mempromosikan pertumbuhan industri fesyen busana santun di Selangor.

Selangor Modest Fashion ini merupakan kolaborasi bersama, antaranya Invest Selangor dan Selangor Youth Community. Ianya mengumpulkan pereka-pereka dari pelbagai lapisan dari pereka perantis, pereka yang beraspirasi tinggi dalam segmen ini dan juga pereka yang telah lama bertapak dan berpengalaman untuk mempersembahkan rekaan-rekaan dan karya-karya terbaru di bawah jenama Selangor Modest Fashion dan bakal dipasarkan menerusi platform yang eksklusif.

Acara ini juga mengetengahkan tema 'Redefining Modesty' (Mendefinisikan Kesantunan), membuka tirai dengan penuh bergaya di mana ia mempersembahkan koleksi rekaan asli daripada 9 pereka Aspiring dengan koleksi 3 pakaian Ready To Wear (RTW) atau sedia dan 1 koleksi Diraja untuk setiap satu pereka.

Gala Fesyen malam tadi terus memukau peminat fesyen dengan persembahan daripada 12 pereka tersohor yang meperagakan 1 koleksi Diraja setiap satu pereka. Antara pereka tersohor yang terlibat adalah Melinda Looi, Dato’ Tom Abang Saufi, Datuk Radzuan Radziwill, FIZIWOO, Rizman Ruzaini dan seorang pereka yang berbakat daripada Brunei, Farhanna Pura dengan jenama “Na Forrér”.



Antara acara menarik yang dipersembahkan malam tadi adalah penyampaian trofi Selangor Modest Fashion Aspiring Award kepada peserta terbaik dari kalangan pereka Aspiring yang mengikuti pertandingan ini selama 4 bulan di bawah bimbingan dan pantauan oleh pakar-pakar industri seperti Faizal Hamid, Kurator Fesyen; Zaihani Mohd Zain, Penggaya Fesyen, dan Andrew Tan, Pengasas KL Fashion Week.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.selangormodest.com.