Berita
"Banyaklah Racun Tertelan, Tapi Nasib Baik Selamat" - Shakilla Khoriri, Fizi Ali Sambut Anniversary Ke-3
Pelakon Shakilla Khoriri meraikan ulang tahun perkahwinannya yang ketiga bersama suami yang juga penyampai radio, Fizi Ali hari ini.
Bersempena dengan sambutan tersebut, Shakilla atau nama sebenarnya, Nurul Shakilla Mohd Khoriri, 31, turut melayangkan ucapan khas buat suaminya.
Dalam tulisan dedikasi tersebut, katanya, dia tidak pernah menyangka hubungan yang terjalin sejak 2013 itu berjaya diharungi bersama walaupun dilanda dengan pelbagai ujian.
"Tak sangka kita lepas setiap stage yang Allah bagi dekat kita. Susah, susah, susah, senang, susah balik, senang sampai sekarang (Bukan main banyak susah daripada senang, bayangkan!) Tetapi, kita berjaya harunginya sayang.
"Mula kenal awak 2013 sampai ke 2017 tu banyaklah racun tertelan tapi nasib baik selamat. Ramai yang nak menjatuhkan tapi kita tetap kuat. Ada juga sepanjang berkawan kita buat salah dan silap tapi tu semua perkara yang mematangkan kita sebagai manusia.
"Hari ini tiga tahun kita kahwin. Semuanya yang Allah bagi indah. Melimpah-limpah Allah beri sampai ada orang baru dalam hidup kita berdua," coretnya menerusi satu entri yang dimuat naik di Instagram.
Dalam satu posting berasingan, Fizi turut berkongsi gambar pertama yang mereka ambil bersama sewaktu mula-mula berkenalan.
Katanya, mereka pernah melalui zaman keluar bercinta walaupun tidak mempunyai wang yang cukup.
"Gambar pertama kami 2013 dulu, jauh perjalanan kita berdua dari zaman dulu sama-sama ada pasangan masing-masing.
"Zaman mengadu dulu putus cinta, zaman susah kita dating pun ada RM10 je, macam-macam kita susah senang sama-sama.
"Alhamdulillah sedar tak sedar dah tiga tahun kita kahwin. Happy anniversary ke-3 sayang.," tulisnya di ruangan kapsyen.
Shakilla dan Fizi mendirikan rumah tangga pada 18 Februari 2018.
Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata, Ameena Sofia pada Mac 2019.
Must-Watch Video