VIRAL
Baru 9 Hari Peluk Islam, Mualaf Meninggal Dunia..Tunang Kongsi Kisah Detik Terakhir - “Saya Jumpa Dia Kaku Dalam Kereta…”
Kisah pemergian seorang mualaf, Jeremy Mah Ci Wei Bin Abdullah, 26, mengundang sebak ramai apabila dia disahkan meninggal dunia hanya sembilan hari selepas mengucapkan lafaz syahadah.
Berita duka itu dikongsikan sendiri oleh tunangnya menerusi Instagram @tee.liew.
Difahamkan pada 19 Julai lalu, tunangnya mula berasa tidak sedap hati apabila Jeremy yang bekerja di Cyberjaya gagal membalas sebarang mesej atau panggilan telefon walaupun sudah tiba waktu rehat sekitar jam 5 hingga 6 pagi.
Kebiasaannya, arwah akan terus pulang sebaik habis kerja tetapi pemeriksaan di lokasi terakhir menunjukkan keretanya berada tidak jauh dari tempat kerja.
“Saya terus ke tempat berkenaan sebelum ternampak tubuh Jeremy sudah sejuk dan kaku di dalam kereta. Berdasarkan pengesahan pihak medik, dia dipercayai sudah meninggal dunia kira-kira lapan jam sebelum ditemui,” kongsinya.
Menurut wanita itu, Jeremy ada menghantar mesej kepada majikannya pada jam 1 pagi memaklumkan dia sudah sampai di tempat kerja.
“Jam 5 pagi, team leader pula mesej bertanyakan kenapa Jeremy tidak hadir bekerja. Saya pelik sebab jam 12.30 malam dia dah keluar rumah. Ke mana dia pergi?
“Kemudian kami tahu Jeremy ada hantar voice note pada team leader, katanya kereta rosak berdekatan tempat kerja dan ada orang datang tolong,” ujarnya.
Namun, keadaan Jeremy yang ditemui menimbulkan tanda tanya kerana arwah berada di tempat duduk penumpang dengan enjin serta pendingin hawa masih terpasang.
“Saya nampak dia terbaring di seat passenger. Kalau tidur, kenapa tak di seat driver? Itu kereta dia, mestilah lebih selamat tidur di tempat pemandu.
“Saya cuba kejutkan, panggil ‘Bie kenapa ada di sini?’ Masa itu baru perasan tangan dia lebam dari siku ke buku lima, kedua-dua belah sama,” katanya sebak.
Difahamkan, Jeremy memeluk Islam pada 10 Julai lalu selepas mengikat tali pertunangan, malah pasangan itu turut merancang untuk berkahwin pada tahun ini atau pada 2026.
Berita pemergian Jeremy itu turut mengundang simpati warganet yang membanjiri ruangan komen dengan ucapan takziah serta doa semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
“Allah pilih dia dengan cara yang begitu indah, semoga rohnya dicucuri rahmat.
“Al-Fatihah, sebak baca kisah dia. Semoga tunang arwah tabah.
“Indah pengakhiran hidup, syukur Allah beri hidayah sebelum dijemput pulang,” komen beberapa netizen.
Sumber: Tee.Liew
Must-Watch Video