Berita
Baru Umur 12 Tahun Dah Jadi Kru Produksi Program TV Macam Orang Dewasa
Bayangkan pada usia seawal 12 tahun, kanak-kanak ini didedahkan dengan tugas sebagai pengacara, jurukamera dan pengurus pentas yang lazimnya dilakukan kru produksi televisyen.
Pengalaman itu dilalui kanak-kanak yang belajar di sekolah tahfiz persendirian, RizQ Islamic School.
Bagi salah seorang murid tersebut iaitu Erfan Suhaimi menyifatkan pengalamannya sebagai pengacara sebuah program berkonsep 'game show' yang diterbitkan sekolah itu suatu yang menyeronokkan.
"Jadi pengacara jika ada skrip lebih mudah tapi tiada skrip pun saya tiada masalah, insha Allah," katanya kepada Astro Gempak.
Ujarnya, setahun berlajar di situ memberi semangat padanya untuk berani bercakap depan kamera dan lebih banyak bergaul dengan rakan-rakan.
"Dulu saya kurang bercakap sebab malu tapi bercakap depan kamera pun tak kisah," katanya yang lebih meminati kerja suntingan video.
Rakannya, Uzair Fayyadh pula mengakui pengalaman menjadi pengarah dan jurukamera memberikan banyak pengetahuan baru padanya.
"Saya suka kedua kerjaya ini. Sebagai pengarah, saya belajar cara kamera 'setting', sistem bunyi dan segalanya berkaitan 'footage'.
"Begitu juga, menjadi jurukamera saya lebih faham bagaimana tengok syot dan pencahayaan," katanya yang mempunyai tiga cita-cita sebagai jurutera, video editor dan saintis.
Pengalaman sama dikongsi Raiesa Aizan yang berpeluang menimba pengalaman sebagai pengurus pentas dalam program sama.
"Ia memang seronok meskipun pertama kali buat. Semalam saya merakam lagu dan membuat skrip tapi saya fikir jadi pengurus pentas lebih seronok," katanya.
Biarpun didedahkan dengan kerja orang dewasa, dia mengakui belajar di sekolah ini lebih mudah dan seronok kerana banyak aktiviti bermain sambil belajar.
Teks oleh: Elrafaei Sapi
Must-Watch Video